KUALA LUMPUR: Kereta Porsche milik selebriti wanita terkenal antara 101 kenderaan mewah disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melalui Op Luxury yang dijalankan di seluruh negara sejak awal bulan ini.
Kenderaan selebriti yang juga usahawan itu disita di sekitar Lembah Klang kerana lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, antara kenderaan mewah yang disita ialah Ferrari, Rolls-Royce, Bentley, Porsche Cayenne, BMW 530E, Lotus Elise S, Toyota Alphard, Toyota Vellfire, Mercedes-Benz dan sebagainya.
Katanya, selain LKM tamat tempoh, ada juga yang tiada perlindungan insurans, lesen memandu tamat tempoh serta tiada lesen memandu.
“Terdapat kenderaan yang dikesan mempamerkan nombor kenderaan lain, nombor casis tidak padan dengan maklumat dalam sistem serta menggunakan Lesen Perdagangan Kenderaan Motor (LPKM) palsu.
“Kita mendapati, ada kenderaan yang LKM telah tamat tempoh melebihi setahun, sejak awal 2024. Antara alasan diberikan pemilik antaranya tidak sedar LKM telah tamat tempoh atau terlupa,” katanya dalam sidang akhbar Op Luxury di JPJ Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Aedy Fadly berkata, JPJ sedang menyiasat kemungkinan kenderaan klon berdasarkan ketidakpadanan nombor casis dan nombor pendaftaran palsu.
Katanya, di Kuala Lumpur dan Selangor bilangan kenderaan yang disita adalah 17 buah, diikuti Pulau Pinang (14), Perak (11), Johor (10) dan Kedah (9).
“Lima kenderaan disita di Pahang dan Melaka, empat di Negeri Sembilan, tiga di Kelantan, dua di Terengganu dan Sabah, serta satu di Sarawak dan Perlis,” katanya. – UTUSAN










