Pembangunan mesti santuni majoriti rakyat – Anwar - Utusan Malaysia

Pembangunan mesti santuni majoriti rakyat – Anwar

ANWAR Ibrahim melihat buku PTKL 2040 pada Majlis Peluncuran Pelan Tempatan Kuala Lumpur (PTKL) 2040 di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Kuala Lumpur, hari ini.-UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Setiap pembangunan bandar, khususnya di ibu negara mesti dirancang secara inklusif agar tidak hanya menguntungkan kelompok tertentu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebaliknya pembangunan yang dirangka perlu menyantuni keperluan majoriti rakyat, khususnya kepada golongan berpendapatan isi rumah 40 peratus terendah (B40) dan 40 peratus pertengahan (M40)

Katanya, konsep pembangunan mesti berubah ke arah yang lebih manusiawi, inklusif dan berpaksikan kesejahteraan rakyat, selaras dengan pendekatan Malaysia Madani yang dibawa kerajaan.

Kata Anwar, pembangunan bandar perlu mengutamakan kesejahteraan golongan B40 dan M40 termasuk peniaga kecil yang sering terpinggir daripada arus kemajuan.

“Kita tidak boleh terus membangun berdasarkan kerangka lama yang terlalu tertumpu kepada kelompok yang sudah selesa.

“Selalunya pembangunan memberi tumpuan kepada golongan yang sudah lengkap dengan kemudahan dan infrastruktur. Tidak salah, tetapi pembangunan mesti lebih seimbang. Rakyat bawahan juga perlu diberi ruang untuk hidup selesa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Peluncuran Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL 2040) di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), hari ini.

Perdana Menteri berkata lagi, pembangunan perumahan rakyat, gerai peniaga kecil dan pengangkutan awam tidak boleh dipandang ringan sebaliknya perlu menjadi teras dalam pelan pembangunan bandar.

Katanya, pembangunan yang hanya berpaksikan keuntungan tanpa menyantuni rakyat bukanlah pembangunan yang sebenar.

“Kita tidak mahu bandar yang indah hanya untuk segelintir, sedangkan majoriti rakyat merasai tekanan hidup. Ini bukan lagi pendekatan yang kita benarkan.

“Kita mesti hentikan pendekatan yang hanya memuaskan pemaju besar. Kita tidak mahu lihat pembangunan rumah mewah berlambak, tetapi rakyat biasa tiada tempat berteduh. Ini mesti diperbetulkan,” kata Anwar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×