WhatsApp dilarang di semua peranti Dewan Perwakilan AS - Utusan Malaysia

WhatsApp dilarang di semua peranti Dewan Perwakilan AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Perkhidmatan pemesejan popular milik Meta Platforms, WhatsApp, telah diharamkan daripada digunakan di semua peranti rasmi milik kakitangan Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), demikian menurut satu memo rasmi yang diedarkan pada Isnin.

Langkah drastik itu dibuat selepas Pejabat Keselamatan Siber Dewan mengklasifikasikan aplikasi berkenaan sebagai berisiko tinggi terhadap pengguna, khususnya melibatkan isu ketelusan perlindungan data, ketiadaan penyulitan data tersimpan, serta potensi risiko keselamatan yang dikaitkan dengan penggunaannya.

Memo yang dikeluarkan oleh Ketua Pegawai Pentadbiran Dewan turut mengesyorkan agar kakitangan menggunakan alternatif lain yang lebih selamat seperti Microsoft Teams, Wickr (milik Amazon), Signal, serta iMessage dan FaceTime daripada Apple.

Sementara itu, Meta dalam satu kenyataan membantah keras keputusan tersebut dan Jurucakap syarikat itu menyatakan WhatsApp menyediakan tahap keselamatan yang lebih tinggi berbanding beberapa aplikasi lain yang dibenarkan.

Pada Januari lalu, seorang pegawai WhatsApp mendedahkan syarikat perisian intip Israel, Paragon Solutions, telah menyasarkan sejumlah besar pengguna mereka, termasuk wartawan dan ahli masyarakat sivil.

Langkah mengharamkan WhatsApp ini bukanlah yang pertama dilaksanakan oleh Dewan Perwakilan.

Sebelum ini, aplikasi video pendek TikTok turut dilarang penggunaannya dalam kalangan kakitangan Kongres pada tahun 2022 atas sebab-sebab keselamatan data dan kebimbangan pengaruh asing.

Langkah keselamatan ini dilihat sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan AS untuk mengekang potensi ancaman siber terhadap institusi pentadbiran dan penggubal undang-undang negara itu. –AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×