MUKADIMAH
WALAUPUN pelbagai tuduhan dilemparkan oleh UMNO Perak termasuk ‘mencuri’ ahli parti itu dan Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di negeri berkenaan mengambil pendekatan beralah demi kepentingan rakyat dan negara.
Dalam temu bual dengan wartawan Utusan Malaysia, NIZAM YATIM di Petaling Jaya, baru-baru ini, Setiausaha Penerangan Bersatu Perak, DATUK DR. ZULKIFLI ABDUL AZIZ menjelaskan, demi rakyat, kepimpinan Bersatu yang majoriti muda-muda belaka yang semestinya berdarah panas mengambil pendekatan sebaliknya iaitu mendambakan penyatuan.
Walaupun sehingga kemuncaknya Menteri Besar Perak daripada Bersatu ‘digulingkan’ pada Disember lalu, Zulkifli yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Perniagaan Muslim Malaysia (DPMUM) menegaskan, mereka tetap tidak berganjak daripada agenda untuk menyatukan Melayu dan membantu rakyat.
MENCURI
UTUSAN: Boleh komen tuduhan Bersatu Perak membuka cawangan dan mencuri ahli UMNO dan Pas?
ZULKIFLI: Kalau kata mencuri ahli, ini tidak wujudlah. Kenapa? Kerana kita bukan pergi mendesak atau memaksa (ahli UMNO) mereka bersama kita dalam perjuangan ataupun untuk menjadi ahli.
Kebanyakannya datang secara sukarela berdasarkan keyakinan perjuangan dan juga prestasi kita. Kalau kata kita curi, bagi saya tuduhan itu agak melulu dan tidak benar.
Sepatutnya mungkin UMNO boleh memperhalusi semula sebab apa sebenarnya ahli mereka berminat bersama Bersatu.
Mengenai dakwaan mencuri ahli Pas juga tidak benar. Pas dengan kita dalam satu coalition (kerajaan campuran) dalam Perikatan Nasional (PN). Sama juga UMNO pun dalam PN, kita menghormati rakan coalition kita.
Bagaimana pula jika ahli Bersatu menyertai UMNO dan Pas?
Kalau kata ahli Bersatu pun, kalau kata dia berminat untuk menyertai Pas dan UMNO atau mana-mana parti, kita terbuka, tiada paksaan.
Kita pun tidak memaksa siapa-siapa untuk menyertai kita. Rakyat hari ini lebih peka dengan keadaan semasa. Mereka akan melihat, menilai dan membuat keputusan mengenai wadah perjuangan mana mereka patut bersama.
Mereka menilai adakah perjuangan kita itu benar-benar untuk membantu rakyat dan adakah kita betul-betul mengusahakan penyatuan terutama orang Melayu.
Berapa banyak cawangan dan bahagian di Perak?
Perak kita ada bahagian di setiap 24 Parlimen. Di setiap bahagian kita ada hampir 30, 40 cawangan, ada yang lebih dari itu.
Waktu Covid-19 ini banyak cawangan dan juga keahlian yang tidak terdaftar disebabkan ibu pejabat tidak beroperasi dengan kapasiti penuh. Banyak bahagian sekarang ini memegang borang keahlian yang tidak boleh diserahkan lagi disebabkan kekangan wabak.
Kami jangka bilangan ini akan meningkat sekali ganda daripada sekarang apabila semua keahlian dapat direkodkan dalam pendaftaran parti.
AGIHAN KERUSI
Bolehkah dirapatkan kembali hubungan antara Bersatu dan UMNO di Perak?
Saya tak boleh bercakap untuk pihak UMNO tetapi bagi pihak Bersatu, kami sentiasa terbuka dan perkataan yang sesuai adalah kami mendambakan penyatuan. Kita buang yang keruh dan ambil yang jernih.
Seboleh-bolehnya kita bersatu, ini lebih baik untuk rakyat. Kalau kata pandangan UMNO, saya tak pasti tetapi Bersatu kita terang dan jelas tentang pendirian mengenai perkara ini.
UMNO mengumumkan akan bertanding di kawasan yang diwakili wakil rakyat Bersatu seperti Larut dan Chenderiang?
Kalau kita hendak cerita tentang agihan kerusi dan tempat calon hendak bertanding, ini sepatutnya diputuskan oleh peringkat (kepimpinan) tertinggi. Jadi, media bukanlah platform untuk kita umumkan perkara ini. Tambahan pula, perbincangan tidak pun berjalan lagi.
Jadi, apabila berbincang nanti elok kita buat dengan cara yang baik, berhemah dan dapatkan satu penyelesaian terbaik apabila semua pihak berada dalam situasi menang- menang.
TIDAK LAYAN
Apakah tumpuan Bersatu Perak sekarang?
Kami fokus dalam menubuhkan PN peringkat negeri dengan Pas dan juga Gerakan. Kita telah membuat beberapa perjumpaan dan mesyuarat.
Di peringkat penerangan, agenda utama ataupun moto kita adalah untuk menguatkan Bersatu dan kukuhkan PN dengan mengadakan ziarah mesra dengan Pas dan Gerakan. Kita juga seboleh-bolehnya cuba sampaikan semua maklumat kerajaan ke peringkat ahli akar umbi terutama bantuan kerajaan dan isu-isu semasa.
Macam mana kalau UMNO Perak masih ‘menyerang’?
Kita memilih untuk tidak melayan. Biarlah peringkat tertinggi parti yang membuat keputusan untuk tindakan-tindakan selanjutnya.
Walaupun kita ditekan dan melalui bermacam-macam ujian, tetapi kita masih konsisten hendak bersama (UMNO) dan akhir sekali terpulang kepada peringkat tertinggi parti membuat keputusan.
LOGO HALAL TIDAK MEMADAI?
Apa agenda untuk membantu rakyat?
Terdapat beberapa isu yang kita kenal pasti. Antaranya akhir-akhir ini banyak produk di pasaran yang menggunakan nama Melayu dan melambangkan Islam termasuk tulisan Jawi, namun hakikatnya ia daripada pengeluar bukan Islam.
Hal ini mengakibatkan kekeliruan dalam kalangan pengguna Muslim berkenaan status sebenar produk tersebut. Kebimbangan kita berasas apabila pihak berkuasa baru-baru ini membongkar kewujudan kartel daging sejuk beku yang menggunakan logo halal palsu.
Selaku pengguna Muslim, soal halal ini bukan satu isu remeh-temeh. Perkara ini perlulah diambil berat kerana ia memberikan kesan besar kepada pemerkasaan ekonomi Muslim.
Boleh jelas mengenai kempen DPMUM untuk menggunakan logo produk Muslim?
Ini berbeza dengan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang terbuka untuk semua orang dan bukan produk keluaran syarikat Muslim sahaja.
Misalnya, kekeliruan berlaku apabila kita tengok pau dan kicap yang menggunakan nama dan lambang berunsur Islam tetapi apabila kita selidik, pemiliknya adalah bukan Islam.
Wujud syubhah (kesamaran antara halal dan haram) terhadap produk yang bukan diusahakan oleh Muslim kerana kita tidak pasti adakah setiap masa prosedur operasi standard (SOP) halal diikuti sepenuhnya.
Bila ada logo produk Muslim, kita lebih yakin pengusaha akan peka tentang isu-isu halal ini.
Bagaimana pula jika syarikat pengeluar produk mempunyai bukan Islam sebagai pemegang saham?
Ya, produk Muslim ini turut merujuk kepada syarikat yang majoriti saham dikuasai oleh orang Islam. Kita sekarang sudah bermula dengan menggalakkan mereka melabelkan bungkusan dengan logo produk Muslim.
Kita memberi dua pilihan kepada pengguna antara produk halal yang dikeluarkan oleh bukan Islam dan barangan halal yang dikeluarkan oleh Muslim.
Bagaimana hendak dapatkan logo ini?
Logo ini kita sudah ada dan DPMUM dalam peringkat perbincangan dengan majlis agama Islam negeri-negeri dan Jakim untuk memberikannya sebagai satu aktiviti sosial kepada syarikat-syarikat yang berminat menjadi ahli DPMUM dan menggunakan logo tersebut.
Logo tidak perlu dibayar, cuma untuk menjadi ahli persatuan kena bayar.
Berapa banyak syarikat sudah menggunakan logo ini?
Ahli kami, lebih kurang dalam 40 ke 50 syarikat. Kita masih dalam perbincangan dengan Jakim dan majlis agama Islam negeri-negeri untuk menyelenggara satu platform lebih meluas yang dapat memberikan keizinan penggunaan logo terbabit.
Kita akan ada nombor bersiri pada setiap logo bagi memudahkan kita buat kawal selia dan mengelak penipuan.
Bolehkah logo ini menghapus isu kartel?
Saya tidak boleh menjamin sepenuhnya tetapi ia serba sedikit akan membantu.











