Pengasas FedEx meninggal dunia - Utusan Malaysia

Pengasas FedEx meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEMPHIS: Fred Smith, pengasas syarikat penghantaran ekspres FedEx yang merevolusikan industri logistik global meninggal dunia pada usia 80 tahun, menurut kenyataan rasmi syarikat berkenaan.

Smith, seorang bekas pegawai Kor Marin Amerika Syarikat, mengasaskan Federal Express pada tahun 1973 dengan matlamat untuk mempercepatkan penghantaran dokumen dan bungkusan kecil berbanding perkhidmatan pos biasa.

Dalam tempoh hampir lima dekad, beliau mengemudi pertumbuhan syarikat itu menjadi gergasi logistik antarabangsa, dengan purata 17 juta penghantaran setiap hari bekerja.

FedEx yang berpangkalan di Memphis, Tennessee, kini menjadi tulang belakang kepada rantaian bekalan global dan petunjuk ekonomi utama memandangkan ramai syarikat bergantung kepada keupayaan penghantarannya.

Smith berundur sebagai Ketua Pegawai Eksekutif pada tahun 2022 namun terus berkhidmat sebagai Pengerusi Eksekutif.

Lulusan Universiti Yale pada tahun 1966, Smith menggunakan teori perniagaan yang dikembangkannya semasa pengajian untuk mencipta sistem penghantaran berpusatkan hab udara – konsep yang kemudian dikenali sebagai sistem “hub and spokes”.

Dengan sistem ini, FedEx bukan sahaja mempercepatkan penghantaran, malah turut mencorakkan perubahan dalam kaedah operasi perniagaan di Amerika daripada kebergantungan kepada gudang besar kepada penghantaran tepat pada masa.

“Nama Federal Express dipilih kerana saya mahu ia kedengaran besar dan penting,” katanya kepada Associated Press dalam satu temu bual, sambil mengakui pada ketika itu, syarikat hanyalah sebuah permulaan kecil tanpa jaminan masa depan.

Pada peringkat awal, Federal Express beroperasi dengan hanya 14 pesawat kecil di Lapangan Terbang Antarabangsa Memphis, menghantar barangan ke 25 bandar di seluruh Amerika Syarikat dan percubaannya untuk mendapatkan kontrak besar dengan Federal Reserve Bank pada ketika itu tidak berhasil.

Anak kepada usahawan terkenal Memphis, Frederick Smith Sr., beliau menyertai tentera selepas tamat pengajian dan ditauliahkan sebagai Leftenan Kedua dalam Kor Marin AS dan bersara sebagai Kapten pada tahun 1969 selepas dua kali dihantar bertugas ke Vietnam, di mana beliau menerima pingat atas keberanian dan kecederaan dalam pertempuran.

Penghormatan terhadap jasa Smith membuktikan legasinya bukan sekadar mencipta empayar logistik, tetapi juga mewariskan semangat perkhidmatan dan dermawan kepada generasi akan datang. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×