ISU keterjaminan makanan, penternakan haiwan ruminan dan ayam itik, pemuliharaan hidupan liar, penyakit zoonotik, haiwan peliharaan, dan lain-lain berkaitan haiwan, mendesak program kedoktoran veterinar dan sains haiwan dalam negara di tambah baik segera. Buat masa ini, program kedoktoran veterinar hanya ditawarkan di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).
Ada juga program berkaitan sains haiwan peringkat diploma ditawarkan, seperti kesihatan haiwan dan penternakan, bagi menampung kerjaya berkaitan haiwan penternakan dan haiwan peliharaan.
Program yang ada sekarang masih tidak mencukupi dan tidak mampu memenuhi permintaan perkhidmatan veterinar. Dengan bilangan doktor veterinar yang ada sekarang tidak sampai 3,000 orang, Malaysia perlu menggandakan bilangannya. Kemampuan mengeluarkan doktor veterinar seramai 130 ke 140 setahun perlu disemak.
Malaysia jauh ketinggalan dari segi bilangan doktor veterinar berbanding negara-negara lain seperti Indonesia seramai 20,000 orang, Australia lebih 15,000 orang, China 400,000 orang, lebih 90,000 orang di Amerika Syarikat, hampir 10,000 orang di Thailand, dan lebih 150,000 orang di Brazil. Selama lebih 50 tahun UPM menjalankan program kedoktoran veterinar, masih belum mencapai sasaran negara.
Permintaan kerjaya sebagai seorang doktor veterinar di Malaysia semakin meningkat memandangkan bidangnya yang amat luas, bukan sahaja terhad kepada haiwan peliharaan yang disimpan dalam kurungan tetapi juga haiwan liar dan haiwan ternakan. Malaysia memerlukan doktor veterinar yang berkualiti untuk perkhidmatan terbaik.
Penyakit zoonotik adalah penyakit yang boleh berjangkit dari haiwan kepada manusia atau sebaliknya disebabkan oleh bakteria, virus, parasit dan kulat. Antara penyakit zoonotik yang terkenal adalah rabies, selesema burung, malaria dan zika yang boleh menjangkiti secara langsung atau tidak langsung.
Pemencilan hutan, interaksi manusia dengan haiwan liar dan haiwan peliharaan secara langsung atau tidak, mendedahkan manusia kepada penyakit zoonotik. Haiwan seperti pelbagai spesies burung, tikus, kera, tupai dan musang yang sudah pun beradaptasi dengan habitat manusia juga memberikan tekanan baharu.
Keperluan doktor veterinar bagi haiwan besar seperti haiwan ternakan dan kuda sangat diperlukan. Bilangan mereka semakin berkurangan. Doktor veterinar untuk haiwan kecil juga mempunyai permintaan tinggi sekarang terutama di kawasan bandar bagi memenuhi gaya hidup semasa berkaitan haiwan peliharaan. Kesedaran tinggi dalam kalangan masyarakat dan aktivis haiwan, dalam kesihatan dan kebajikan haiwan, menambahkan lagi permintaan kepada bilangan doktor veterinar.
Perubahan lanskap habitat manusia dan haiwan liar serta gaya hidup manusia, memerlukan perhatian baharu pihak bertanggungjawab.
Berasaskan keperluan dan ketidakseimbangan ini, pihak berkaitan perlu mencari penyelesaian dengan melatih lebih ramai bakat perkhidmatan veterinar di pelbagai peringkat melalui program pendidikan yang ada atau meningkatkan aktiviti dan kualiti program pendidikan.
Program kedoktoran veterinar, ahli akademik, pegawai sokongan dan kemudahan yang ada di UPM dan UMK mesti diberikan perhatian sebagai laluan cepat penambahbaikan keperluan doktor veterinar negara.
Program galakan pembangunan bakat baharu dalam perkhidmatan veterinar boleh dikembangkan selari dengan program pembangunan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) dan TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) yang sedang dipopularkan kerajaan.
Permintaan tinggi kepada doktor veterinar sesuai dengan pembangunan industri penternakan seperti lembu daging dan tenusu, kambing, biri-biri, babi dan ayam yang berlaku dengan cepat. Perkembangan teknologi penternakan seperti sistem permakanan automatik, pemantauan kesihatan, dan inovasi genetik melibatkan integrasi antara bidang dan kepakaran. Tambahan lagi dengan perkembangan kecerdasan buatan (AI) dan internet kebendaan (IoT) membuatkan bidang kedoktoran veterinar semakin mencabar.
Aplikasi ilmu asas sains haiwan, perkembangan sains moden dan teknologi dalam penternakan, penambahbaikan kesihatan dan kebajikan haiwan ternakan, produktiviti, kualiti produk, pengurusan penyakit, kelestarian alam sekitar dan kesedaran awam umumnya, memerlukan amalan perkhidmatan veterinar yang cekap dan mampan.
Bagi menyediakan nasihat penjagaan dan rawatan haiwan peliharaan yang terbaik, pusat perkhidmatan penjagaan dan kecemasan veterinar yang boleh diakses dengan mudah perlu diadakan. Haiwan yang sakit tidak seperti manusia yang boleh berkomunikasi dengan mudah apabila mempunyai masalah kesihatan.
Komunikasi dengan haiwan memerlukan latihan, kesabaran, pemerhatian dan kefahaman serta kemahiran yang tinggi. Kelakuan, tahap tekanan, pergerakan dan respon haiwan yang sakit atau tertekan adalah sebahagian daripada perkara penting yang perlu dilihat.
Hospital pakar veterinar berteknologi tinggi contohnya perlu ada di UPM sebagai sebuah universiti yang telah terkehadapan dalam negara.
Industri penternakan ruminan dan perubahan iklim sangat berkait rapat terutamanya dalam pelepasan gas rumah hijau (GHG) di mana gas metana hasil daripada pencernaan makanan dan nitrus oksida daripada tahi haiwan. Penebangan hutan untuk kawasan ternakan juga mempengaruhi perubahan iklim apabila tiada tumbuhan untuk menyerap karbon.
Kesan perubahan iklim ke atas haiwan penternakan termasuk tekanan haba, kekurangan air, bekalan makanan terhad, penyebaran penyakit, boleh mengurangkan produktiviti sumber daging dan tenusu.
Dalam pengurusan hidupan liar, pendekatan baharu dalam program kedoktoran veterinar sangat penting apabila mengambil kira pemencilan hutan, perubahan iklim, konflik dengan manusia, pencemaran bahan kimia dan tekanan alam sekitar umumnya.
Doktor veterinar tidak hanya melihat kepada kesihatan haiwan, tetapi lebih bersepadu meliputi kesihatan ekosistem, pemantauan konflik kesihatan manusia-hidupan liar, kaedah diagnosis selamat dan cepat, pencegahan penyakit, pemuliharaan hidupan liar serta adaptasi pengurusan dan penyelidikan yang berterusan. – UTUSAN
Ahmad Ismail ialah Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC).










