Lapan maut, belon udara panas terbakar dan terhempas di selatan Brazil - Utusan Malaysia

Lapan maut, belon udara panas terbakar dan terhempas di selatan Brazil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FLORIANÓPOLIS: Sekurang-kurangnya lapan orang terkorban apabila sebuah belon udara panas yang membawa lebih 20 penumpang terbakar sebelum terhempas di selatan Brazil, awal pagi Sabtu.

Kejadian tragis itu berlaku di negeri Santa Catarina, berhampiran bandar pelancongan Praia Grande, kira-kira 270 kilometer dari ibu negeri Florianópolis.

Kawasan tersebut digelar sebagai ‘Cappadocia Brazil’ kerana terkenal dengan pemandangan canyon yang mempesonakan serta penerbangan belon udara panas yang menjadi tarikan utama pelancong.

Rakaman video kejadian yang dimuat naik ke media sosial memaparkan detik cemas belon pelbagai warna itu diselubungi api sebelum terjunam ke bumi di mana sekurang-kurangnya dua penumpang kelihatan melompat keluar dari bakul belon ketika api semakin marak manakala seorang saksi yang ketakutan kedengaran menjerit: “Ya Tuhan!” ketika bakul belon menjunam ke tanah.

Gabenor Santa Catarina, Jorginho Mello, menerusi kenyataan di platform X mengesahkan kejadian dan memaklumkan pasukan penyelamat telah digerakkan ke lokasi nahas.

“Terdapat 21 orang di dalam belon lapan maut, 13 lagi terselamat,” katanya.

Walaubagaimanapun, terdapat laporan lain menyatakan jumlah keseluruhan penumpang adalah seramai 22 orang.

Menurut akhbar tempatan Jornal Razão, tragedi itu berlaku sekitar jam 7 pagi waktu tempatan ketika lebih 30 belon udara panas sedang berlepas secara serentak di kawasan yang digelar Ibu Kota Canyon negeri itu.

“Apabila belon mula terbakar, orang ramai melompat keluar,” kata seorang saksi kepada akhbar berkenaan.

Menurut laporan, juruterbang belon berkenaan yang turut terselamat memberitahu pihak berkuasa bahawa kebakaran berpunca daripada obor simpanan yang berada di dalam bakul belon tersebut.

Pihak berkuasa kini menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden yang menggemparkan negara itu dan mencemarkan reputasi kawasan pelancongan popular tersebut. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×