Mohd.Khalid mampu kekang ancaman nyata perkukuh PDRM

Mohd.Khalid mampu kekang ancaman nyata, tidak nyata bagi perkukuh imej PDRM

MOHD. KHALID ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Rata-rata berpandangan pelantikan Datuk Seri Mohd Khalid Ismail sebagai Ketua Polis Negara (KPN) ke-15 dilihat mampu membawa pendekatan yang lebih strategik dalam memperkukuh imej dan tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Datuk Seri Halim Ishak berkata, Mohd. Khalid berpengalaman luas terutamanya dalam bidang risikan keselamatan sekali gus menangani kebocoran maklumat dalaman serta memperkukuh keyakinan rakyat terhadap institusi kepolisan.

“Kami (MCCF) juga menjangkakan agenda pembaharuan institusi dan penekanan kepada ketelusan, profesionalisme serta kerjasama antara agensi akan terus diperhebat di bawah kepimpinan beliau (Mohd.Khalid),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Halim yang juga merupakan Pengasas Yayasan Prihatin Bekas 69 Komando (YPB69K) Malaysia turut menyarankan Mohd. Khalid untuk meningkatkan status Maktab Polis kepada Universiti Polis Diraja Malaysia sepertimana Maktab Tentera ke Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

“Beliau (Mohd.Khalid) juga perlu mewujudkan sebuah hospital yang memberikan rawatan khusus kepada pesakit yang terdiri dari warga kerja dan veteran PDRM,” jelasnya.

Berpendapat sama, Pakar Perang Saraf dan Penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, pelantikan Mohd. Khalid sebagai KPN dengan dengan latar belakang sebagai Pengarah Cawangan Khas akan memacu kestabilan dan keamanan negara.

Selain itu, kata beliau, Mohd. Khalid boleh meningkatkan imej PDRM di dalam dan luar negara.

“Pengalaman beliau penting bagi membantu negara mengekalkan momentum perkembangan ekonomi dan sosial yang baik dalam suasana ancaman dan ketidakstabilan geopolitik sedunia yang berlaku di kawasan tertentu.

“Beliau juga dilihat mampu mengekang apa bentuk ancaman nyata dan tidak nyata kepada negara selain memastikan rakyat dapat terus hidup dalam keadaan aman dan sejahtera serta memelihara kedaulatan negara,” jelasnya.

Dalam pada itu, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, pelantikan Mohd. Khalid merupakan satu keputusan yang tepat berdasarkan latar belakang beliau yang kukuh dalam perisikan serta keselamatan negara.

Jelas beliau, pengalaman Mohd.Khalid memberi kelebihan dalam memahami ancaman dalaman termasuk jenayah terancang, ekstremisme dan kegiatan korupsi yang berprofil tinggi.

“Sudah pasti, harapan rakyat sangat tinggi untuk melihat PDRM menjadi sebuah institusi penguatkuasaan yang benar-benar bebas, berintegriti dan telus,” ujarnya.

Dalam pada itu, MCW turut menyeru agar Mohd. Khalid dapat meletakkan agenda reformasi PDRM dengan bekerjasama erat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai keutamaan.

“Ini bagi memastikan PDRM menjadi barisan hadapan dalam memerangi rasuah selain menegakkan keadilan di negara ini,” katanya.

Terdahulu, Mohd.Khalid dilantik sebagai KPN ke-15 menggantikan Tan Sri Razarudin Husain yang akan menamatkan kontraknya.

Majlis serah terima tugas berkenaan disaksikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur.

Sebelum ini, Mohd Khalid Ismail dilantik sebagai Pengarah Cawangan Khas berkuat kuasa 8 Mei 2023 dan kemudian pernah menjawat jawatan Timbalan Pengarah Cawangan Khas I selepas dilantik pada 25 Oktober 2022.

Pada 2 November 2023, Mohd Khalid dikurniakan Darjah Panglima Gagah Pasukan Polis (PGPP) daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×