Model Taiwan maut terima suntikan ‘susu’ rawatan insomnia

Model Taiwan maut terima suntikan ‘susu’ rawatan insomnia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPEI: Seorang model pameran kereta terkenal di Taiwan meninggal dunia selepas menerima rawatan ‘suntikan susu’ daripada seorang doktor kosmetik ternama, yang mencetuskan kemarahan dan kesedihan meluas di media sosial negara itu.

Cai Yuxin, berusia 30-an dan memiliki lebih 32,000 pengikut di Facebook, terkenal dalam kalangan peminat automotif dan sering dibandingkan dengan pelakon popular Taiwan, Lin Chi-ling kerana kecantikan dan ketinggiannya yang mencecah 170 sentimeter (cm).

Cai dilaporkan mengalami insomnia kronik sejak sekian lama sebelum beliau mendapatkan rawatan kesukaran tidur atau insomnia di Klinik Fairy, Taipei atas saranan seorang rakan.

Rawatan yang diterimanya dikenali sebagai ‘suntikan susu’, merujuk kepada penggunaan propofol iaitu sejenis ubat pelali intravena yang kuat dan bertindak pantas, yang dinamakan kerana berwarna putih seperti susu.

Ubat itu diberikan oleh Dr. Wu Shaohu, pengarah klinik tersebut dan tokoh terkenal dalam bidang pembedahan kosmetik di Taiwan.

Wu sering digelar sebagai ‘Godfather of Liposuction’.

Namun, selepas suntikan diberikan, Dr. Wu dilaporkan meninggalkan klinik dan hanya seorang pembantu lelaki yang tidak memiliki lesen kejururawatan ditugaskan untuk memantau keadaan Cai.

Laporan United Daily News mendakwa, berlaku kemungkinan kesilapan dalam penyediaan alat titisan intravena menyebabkan kadar aliran meningkat dan dos propofol disuntik terlalu cepat dalam tempoh singkat.

Cai kemudiannya mengalami serangan jantung dan sukar bernafas secara tiba-tiba.

Walaupun pembantu itu menghubungi Dr. Wu yang cuba membimbingnya melalui panggilan video untuk melakukan CPR dan segera kembali ke klinik, usaha menyelamatkan nyawa Cai gagal.

Mangsa segera dihantar ke hospital, namun kekal dalam keadaan koma selama 18 hari.

Pada 12 Jun, keluarganya membuat keputusan untuk menghentikan mesin sokongan, yang menamatkan hayat wanita berkenaan.

Pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan terhadap Dr. Wu atas kemungkinan menyebabkan kecederaan serius akibat kecuaian serta pelanggaran Akta Penjagaan Kesihatan Taiwan.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×