Ketahui maksud Bala dan Unni dalam nama orang India

Ketahui maksud Bala dan Unni dalam nama orang India

RAMAI dalam kalangan kaum India beragama Hindu di Malaysia tidak mengetahui makna di sebalik nama sendiri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBAGAIMANA kita sedia maklum, nama yang diberi kepada setiap individu ada makna tersendiri. Nama orang Melayu biasanya berasaskan bahasa Arab dan agama Islam.

Begitulah juga, nama orang India lazimnya berakarkan agama Hindu dan bahasa Sanskrit atau bahasa-bahasa lain di negara India.

Istilah ‘nama’ itu sendiri berasal daripada perkataan Sanskrit dan dihuraikan maknanya dalam teks klasik seperti Natyasastra dan Vastusastra.

Ilmu antroponimi dan onomastik agak menarik kerana ia membantu kita memahami makna dan asal usul nama orang. Saya pernah menghuraikan makna beberapa nama kaum India menerusi ruangan ini pada 4 September 2021.

Dalam kalangan kaum India beragama Hindu di Malaysia, ramai yang mungkin tidak mengetahui makna di sebalik nama sendiri. Sedikit huraian di sini diharap dapat turut membantu orang ramai memahami maksud nama rakan-rakan dan kenalan kaum India.

Dialog dalam filem Pushpa (2021) membantu ramai penonton memahami makna pushpa atau puspa ialah bunga dan juga api. Namun begitu, nama itu lebih lazim merujuk kepada bunga.

Antara nama yang bersumberkan puspa ialah Puspavati (taman bunga) dan Puspanathan (ketua bunga). Dalam karya purana Hindu, ada watak putera dan ular tedung bernama Puspa.

Agak menarik  nama Puspavati dalam bahasa Tamil dan Nepal juga merujuk khusus kepada gadis yang sudah cukup umur atau akil baligh.

Jika anda ada rakan bernama Tamilarasi, Tamilarasan, Tamilselvi atau Tamilchelvan, maka tentulah dia keturunan Tamil dan bukannya Malayali, Telugu, Punjabi, Bengali dan sebagainya.

Memandangkan hampir 85 peratus kaum India di Malaysia berketurunan Tamil, tidak hairanlah semangat mencintai bahasa dan budaya Tamil kekal kuat.

Tamilarasi dan Tamilarasan membawa makna individu itu ialah permaisuri atau raja (pemerintah) bagi bahasa Tamil.

Istilah Selvi atau Chelvi bagi wanita dan Selvan atau Chelvan bagi lelaki membawa makna kaya atau cantik dalam bahasa Tamil. Maka, pemilik nama itu dianggap kaya dengan keindahan bahasa Tamil.

Unni Mukunthan mungkin bukan nama yang selalu ditemui di Malaysia. Nama ini popular dalam kalangan orang Malayali dan juga penduduk di negeri Kerala, India.

Nama Mukunthan atau Mukundan berakarkan bahasa Sanskrit dan berkait rapat dengan agama Hindu, khususnya Dewa Vishnu dalam mazhab Vaishnava. Nama unik ini menggabungkan kata muk (pembebasan) dan undan (pemberi).

Maka, nama Mukunthan merujuk kepada Dewa Vishnu yang mampu memberikan moksha atau nirvana kepada para pengikut.

Sementara itu, unni dalam bahasa Malayalam membawa makna kecil atau bayi. Dalam konteks antroponimi, nama Unni Mukunthan merujuk kepada Dewa Vishnu semasa bayi atau kanak-kanak.

Nama lain yang popular dalam kalangan orang Malayali ialah Unnikrishnan dan Unni Menon bagi lelaki serta Divya Unni dan Utthara Unni bagi wanita. Namun begitu, nama Unni lebih lazim digunakan bagi lelaki.

Dalam kalangan orang Tamil pula, kita biasa menemui lelaki bernama Balachandran, Balakrishnan, Balamurugan dan Balaraman. Selalu pula kita meringkaskan nama mereka kepada Bala sahaja.

Makna bala tentulah bukan bencana seperti dalam konteks budaya Melayu. Sebaliknya, dalam budaya orang India, perkataan itu ada dua makna yang berkait rapat pula dengan watak-watak dalam epik dan purana.

Harus dinyatakan  wujud sebutan singkat dan panjang dalam bahasa-bahasa India. Misalnya, ada ‘a’ (singkat) dan ‘aa’ (panjang). Perbezaan sebutan singkat dan panjang boleh mengubah makna perkataan.

Di Malaysia, apabila nama bayi didaftar di Jabatan Pendaftaran Negara, tentulah tulisan Rumi digunakan. Selalu pula aspek sebutan singkat dan panjang diabaikan.

Misalnya, nama Bala tidak didaftar sebagai Baala dalam sijil kelahiran. Namun, sekiranya diperhatikan, masyarakat pelbagai kaum dan bahasa ibunda tetap menyebut nama itu sebagai Baala (panjang) dan bukannya Bala (singkat).

Jika kita berpeluang melihat nama individu itu ditulis menggunakan huruf Tamil, maka akan nampak perbezaan penggunaan ‘baa’ (panjang) dan ‘ba’ (singkat).

Perbezaan ini penting untuk kita memahami makna di sebalik nama-nama seperti Balachandran, Balakrishnan, Balamurugan dan Balaraman.

Dalam budaya India, ada perbezaan makna antara bala dan baala. Perkataan bala (Sanskrit) dan balan (Tamil) membawa makna kuat, perkasa. Maka, Balakrishnan merujuk kepada Krishnan yang kuat dan perkasa.

Sementara itu, baala (Sanskrit) dan baalan (Tamil) membawa makna kecil, bayi, kanak-kanak iaitu sama makna dengan Unni dalam bahasa Malayalam. Maka, Baalakrishnan merujuk kepada Krishnan pada usia bayi atau kanak-kanak.

Kita ambil Balarama pula sebagai contoh. Dalam epik Mahabharata, dia ialah abang kepada Krishna. Dia memang individu kuat dan perkasa. Maka, amat sesuailah diberi nama Balarama.

Dalam epik Ramayana yang muncul hampir seribu tahun sebelum itu pula ada watak Rama. Diceritakan kisah zaman kanak-kanak, remaja dan dewasa.

Semasa Rama kecil, tentulah dia boleh digelar sebagai Balarama iaitu Rama kecil. Namun begitu, sebutannya ialah Baalarama (panjang).

Watak ini berbeza dengan watak Balarama (Rama yang perkasa) dalam Mahabharata yang disebut sebagai Balarama (singkat).

Nama Dewa Murugan tidak asing bagi penduduk Malaysia kerana dikaitkan dengan sambutan Thaipusam. Kisah dewa ini boleh dibaca dalam Khanda Puranam (2022) yang merupakan penceritaan semula daripada versi Sanskrit berjudul Skanda Purana.

Ramai orang Tamil diberi nama Balamurugan sempena dewa itu. Para pembaca tentu sudah tahu bahawa sebutan yang lazim ialah Baalamurugan (panjang) dan merujuk kepada dewa itu pada usia kanak-kanak.

Dewa Murugan juga dianggap panglima tentera bagi Dewa Indra. Maka, tentulah dia kuat, gagah dan perkasa. Dengan itu, nama Balamurugan (singkat) juga masih sesuai digunakan.

Mulai sekarang, bolehlah cuba bertanya kepada rakan-rakan kaum India beragama Hindu tentang makna dan sebutan sebenar nama mereka.-UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×