PADA 13 Jun lalu, Israel melancarkan serangan udara ke atas beberapa kemudahan ketenteraan dan nuklear Iran. Serangan mengejut yang tidak dijangka itu mengorbankan puluhan nyawa, termasuk komander tentera, anggota Pengawal Revolusi serta orang awam.
Sebagai sebuah negara berdaulat dengan kekuatan ketenteraan yang disegani di rantau Asia Barat, Iran bertindak balas dengan melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke arah Israel dalam serangan berterusan dari malam Jumaat hingga ke pagi Sabtu.
Sehingga kini, kedua-dua negara masih saling melancarkan serangan, sekali gus meningkatkan kemungkinan tercetusnya konflik yang berpanjangan. Sekiranya keadaan ini berterusan, ia berpotensi mencetuskan campur tangan kuasa-kuasa besar dunia yang sememangnya sedang bersaing dan berkonflik antara satu sama lain.
Dalam masa yang sama, situasi ini turut meletakkan Asia Barat dalam kancah pergolakan dan konflik bersenjata yang bukan sahaja menjejaskan kestabilan geopolitik serantau, malah berpotensi membawa kesan buruk ke seluruh dunia, khususnya dari segi ekonomi global.
Negara-negara pelindung Israel, khususnya Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK), segera mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan tindak balas Iran terhadap Israel. Sekutu-sekutu Israel lazimnya bertindak pantas apabila keselamatan negara itu terancam, apatah lagi dengan kemampuan Iran yang berpotensi melancarkan serangan balas. Tidak mustahil Tel Aviv telah memaklumkan secara rahsia kepada sekutu-sekutunya mengenai rancangan untuk melancarkan serangan terhadap Iran.
Justeru, sebaik sahaja serangan ini dibuat, UK mengumumkan penghantaran jet pejuang dan aset ketenteraan lain ke Asia Barat. Perdana Menterinya, Keir Starmer berkata langkah itu adalah sebahagian daripada persediaan menghadapi sebarang kemungkinan memuncaknya konflik antara Iran dan Israel.
Starmer menyifatkan situasi konflik ini sebagai cepat berubah dan amat tegang.
AS pimpinan Donald Trump sudah pasti akan berbuat apa sahaja untuk melindungi ‘anak emas’nya itu. Dalam konflik Iran-Israel pada April tahun lalu, Presiden AS ketika itu, Joe Biden juga memberi amaran kepada Iran supaya tidak menyerang Israel. Malah Biden berjanji untuk berdiri bersama Israel menentang Iran.
Yang jelas sokongan Rumah Putih terhadap keselamatan Israel kukuh dan akan sentiasa berdiri serta menyokong pertahanan Israel terhadap ancaman dari mana-mana musuhnya.
Persiapan kontingensi negara-negara pelindung Israel dalam menghadapi situasi konflik Iran-Israel yang kemungkinan tidak terbendung itu meletakkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu semakin sombong dan bersiap untuk terus bertindak ke atas Iran.
Dalam masa sama, jika ketegangan terus merebak maka negara-negara yang menyebelahi Iran seperti Russia, Korea Utara dan beberapa negara lain pasti tidak berdiam diri. Ini bagi memastikan Iran tidak dikuasai Israel dan sekutunya terutamanya AS. Ini penting bagi sekutu-sekutu Iran supaya kepentingan mereka, termasuk kepentingan strategik ketenteraan di rantau tersebut tidak terjejas.
KESAN BURUK
Dari sudut ekonomi, impak konflik Iran-Israel kepada ekonomi dunia akan lebih teruk jika pergolakan di Asia Barat itu berterusan. Kesan pada rantaian bekalan dan harga minyak lebih tinggi boleh terjadi lalu membawa kepada risiko inflasi yang buruk. Ini kerana masih banyak kontena minyak dan bekalan makanan melalui perkapalan Timur Tengah. Situasi ini akan menyebabkan harga barangan yang dieksport dan diimport melalui Timur Tengah akan meningkat berkali ganda.
Kesan buruk ekonomi ini mungkin akan terasa dalam antara sebulan dua atau lebih jika konflik ini berpanjangan. Demikian juga perjalanan ke Timur Tengah akan terjejas, sekali gus memberi kesan kepada agensi pelancongan yang menawarkan pakej ke rantau itu.
Selain itu, perjalanan umat Islam untuk mengerjakan umrah juga mungkin terjejas sekiranya konflik itu berlanjutan.
Biasanya sektor pelancongan akan terjejas jika krisis atau pergolakan terbabit berterusan kerana ia membabitkan soal keselamatan penerbangan. Ini kerana ruang udara di kawasan negara-negara Timur Tengah menjadi tidak selamat.
Malaysia perlu bersiap sedia untuk berdepan keadaan ekonomi yang mungkin menjadi lebih buruk. Usaha untuk meningkatkan kemahiran rakyat dalam berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi global amat perlu supaya mereka boleh dengan pantas mencari dan mencipta peluang yang bersesuaian dengan keadaan ekonomi semasa.
Negara juga perlu mampu secara berterusan memberi keyakinan kepada para pelabur dari segi potensi dan kelebihan ekonomi yang ada termasuk memiliki tenaga kerja dan kemudahan yang berkualiti serta sistem pengurusan pelaburan yang efisien.
Apa jua keadaannya, langkah terbaik untuk mengelakkan konflik antara Iran dan Israel daripada terus berlarutan ialah dengan memastikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) segera mengambil inisiatif mengadakan rundingan yang bersifat neutral, tanpa memihak kepada mana-mana blok. PBB juga perlu mendesak semua pihak yang terlibat agar meredakan ketegangan dan menghentikan sebarang tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan.
Bagaimanapun perkara ini bukannya mudah sekiranya kuasa-kuasa besar, terutamanya yang menyebelahi Israel tidak mahu memikirkan soal-soal kemanusian, kepentingan keamanan dan keselamatan dunia selain masing-masing mahu menjayakan agenda mereka.-UTUSAN
PENULIS ialah penganalisis sosiopolitik bebas.











