GUA MUSANG: Tanda-tanda keputihan pada kulit yang disangka panau tidak boleh dipandang ringan oleh masyarakat kerana ia juga berkemungkinan merupakan simptom awal penyakit kusta.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr. Zaini Hussin, berkata, kekeliruan antara kusta dan panau masih berlaku dalam kalangan masyarakat, menyebabkan ramai pesakit lewat mendapatkan rawatan.
Katanya, walaupun kedua-dua penyakit itu menunjukkan tanda keputihan pada kulit, kusta mempunyai perbezaan nyata, iaitu pesakit akan kehilangan deria rasa pada kawasan terbabit akibat gangguan saraf.
“Kusta adalah penyakit yang tidak mempunyai simptom spesifik dan sering disangka sebagai masalah kulit biasa seperti panau.
“Tetapi jika tidak dikesan dan dirawat awal, ia boleh menyebabkan kecacatan kekal serta menjejaskan kualiti hidup pesakit dan keluarga,” katanya sewaktu berucap merasmikan Sambutan Hari Kusta Sedunia 2025 Peringkat Negeri Kelantan di Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir, di sini semalam.
Penyakit kusta mungkin tidak menular secara agresif seperti penyakit berjangkit lain, namun ia tetap memberi kesan mendalam dari aspek sosial, emosi dan fizikal kepada pesakit.
Sejak 2023, JKNK merekodkan sebanyak 16 kes kusta di negeri ini dengan tiga kes dilaporkan tahun ini, enam pada 2024 dan tujuh kes pada 2023.-UTUSAN.










