BANGKOK: Tekanan agar Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra, meletak jawatan semakin memuncak selepas rakaman panggilan telefonnya dengan bekas pemimpin Kemboja, Hun Sen, tersebar kepada umum.
Kebocoran itu mencetuskan kemarahan rakyat dan turut mendorong satu daripada rakan utama dalam gabungan pemerintah menarik diri.
Kerajaan gabungan yang diterajui parti Pheu Thai pimpinan Paetongtarn di ambang kejatuhan, sekali gus menjerumuskan negara itu dalam satu lagi episod ketidakstabilan politik ketika Thailand berusaha memulihkan ekonomi serta mengelak daripada tarif perdagangan Presiden Donald Trump.
Parti konservatif Bhumjaithai, rakan gabungan terbesar Pheu Thai, mengumumkan pengunduran dengan menyifatkan tindakan Paetongtarn dalam panggilan tersebut mencemarkan maruah negara serta institusi tentera.
Dalam rakaman itu, Paetongtarn berbincang mengenai pertikaian sempadan yang berlarutan dengan Hun Sen.
Beliau turut merujuk Hun Sen sebagai ‘pak cik’ dan menggambarkan komander tentera Thailand di timur laut negara itu sebagai ‘pihak lawan’, satu kenyataan yang mencetuskan kritikan hebat di media sosial.
Kehilangan sokongan 69 ahli Parlimen daripada Bhumjaithai menyebabkan Paetongtarn kini mempunyai majoriti tipis di Parlimen, dan tidak mustahil mengheret negara itu kepada pilihan raya mengejut.
Dua lagi parti dalam gabungan, United Thai Nation dan Parti Demokrat, masih berbincang situasi semasa.
Sekiranya satu daripada mereka menarik diri, kerajaan pimpinan Paetongtarn berkemungkinan besar tumbang, sekali gus membuka laluan pilihan raya atau percubaan parti lain membentuk gabungan baharu.










