LOS ANGELES: Ketegangan yang menyelubungi bandar Los Angeles berikutan protes besar-besaran susulan serbuan imigresen oleh pentadbiran Donald Trump dilihat mula reda semalam, apabila perintah berkurung ditamatkan.
Namun, Presiden Amerika Syarikat (AS) itu masih bergelut untuk mengekalkan kawalan ke atas pasukan tentera yang dikerah ke bandar tersebut.
Datuk Bandar Los Angeles, Karen Bass memaklumkan, perintah berkurung dari pukul 8 malam hingga 6 pagi yang dikuatkuasakan selama seminggu sebelum ini berjaya menghalang kejadian rompakan dan kerosakan harta benda di premis perniagaan serta kawasan perumahan.
“Langkah ini ternyata berkesan melindungi masyarakat, khususnya komuniti pendatang, daripada tindakan pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.
Bagaimanapun, beliau turut mengingatkan bahawa perintah berkurung boleh dikuatkuasakan semula jika keadaan kembali tidak terkawal.
Isu menjadi lebih rumit apabila Trump bertindak menghantar 4,000 anggota Pengawal Kebangsaan California serta 700 anggota Marin ke bandar kedua terbesar di Amerika Syarikat itu, sekali gus membelakangkan Gabenor California, Gavin Newsom, yang secara tradisi bertanggungjawab terhadap pasukan tersebut.
Seorang hakim persekutuan pada Khamis lalu, memutuskan tindakan Trump sebagai tidak sah dan mengarahkan kawalan dikembalikan kepada Gabenor, namun keputusan tersebut digantung sementara selepas pentadbirannya memfailkan rayuan ke mahkamah tinggi.
Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat dalam hujah rayuan menyatakan kawalan Trump ke atas pasukan tentera diperlukan bagi memastikan pegawai imigresen persekutuan dapat menjalankan tugas penangkapan tanpa ancaman daripada orang awam.
Bagaimanapun, pihak California menolak dakwaan itu dengan menyatakan kehadiran tentera hanya memburukkan keadaan dan protes boleh ditangani oleh penguatkuasa tempatan.
Difahamkan, anggota Pengawal Kebangsaan kini dikerahkan mengawal bangunan kerajaan persekutuan di sekitar Los Angeles dengan kelengkapan penuh termasuk perisai dan topi keledar, meskipun undang-undang melarang mereka daripada membuat tangkapan terhadap orang awam.
Media tempatan melaporkan ada antara mereka melepaskan gas pemedih mata dan peluru tidak berbahaya ke arah penunjuk perasaan.
Pertikaian itu mencerminkan pelbagai usaha Trump untuk meluaskan kuasa Presiden, kali ini melibatkan aspek ketenteraan dan dijangka akan berlarutan ke Mahkamah Agung yang kini dikuasai majoriti konservatif.
Tindakan imigresen yang agresif termasuk penggunaan ejen bersenjata dan bertopeng turut mencetuskan protes di bandar lain seperti San Francisco, New York, Chicago dan San Antonio.— AGENSI










