Malaysia bakal berdepan krisis bekalan darah?

Malaysia bakal berdepan krisis bekalan darah?

MOHAMMAD Masrin Md. Zahrin menyantuni mahasiswa yang menderma darah pada program ‘Kempen Derma Darah Perdana: Universiti Teknologi Mara Heartbeat’ di Shah Alam, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Negara dijangka ber­depan krisis bekalan darah apabila hanya 2.5 peratus daripada lebih 34 juta penduduk berminat dan tampil menderma darah.

Lebih membimbangkan apabila 75 peratus atau tujuh juta belia tidak berminat menderma darah, menyaksikan bekalan banyak diperoleh hasil sumba­ngan golongan lebih berusia.

Peratusan itu masih jauh daripada sasaran 40 peratus belia menderma darah menjelang 2030, dan saranan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) lima peratus penderma daripada populasi negara sedang membangun.

Situasi tersebut dibimbangi menjejaskan bekalan darah di lebih 300 hospital awam dan swasta ketika Malaysia diunjur menjadi negara menua menjelang 2040.

Pengarah Pusat Darah Negara (PDN), Dr. Mohammad Masrin Md. Zahrin berkata, negara memerlukan purata sebanyak 2,200 beg darah sehari untuk kegunaan 1,000 pesakit.

Beliau berkata, meskipun bekalan darah ketika ini mencukupi, namun permintaan adalah berterusan dan meningkat disebabkan cabaran utama ketika ini adalah menuju negara menua.

“Negara kita banyak kes penyakit tidak berjangkit (NCD), banyak juga fasiliti yang dinaik taraf kemudahan dari segi rawatan. Peningkatan (jumlah) hospital kerajaan dan swasta, maka meningkatlah keperluan bekalan darah.

“Sekarang, berdasarkan po­pulasi rakyat Malaysia seramai 34 juta orang, hanya 2.5 peratus penderma. Kalau ikut sasaran WHO bagi negara membangun adalah sebanyak lima peratus.

“Namun, untuk Malaysia, kita tidaklah mencapai (meletakkan) sasaran lima peratus, tetapi menjelang 2030 kita hendak mencapai sekurang-kurangnya 3.5 hingga empat peratus daripada populasi,” katanya pada program ‘Kempen Derma Darah Perdana: Universiti Teknologi Mara (UiTM) Heartbeat’, semalam.

Dr. Mohammad Masrin memberitahu pendermaan darah perlu dilakukan secara berterusan kerana jangka ha­yat simpanannya terhad, selain penggunaan bagi rawatan kes-kes kritikal di hospital.

“Bila kita dermakan dan kita proses, ada waktu jangka hayat setiap komponen darah seperti sel darah merah antara 35 hingga 42 hari, lima hari bagi platelet dan untuk simpanan dalam suhu tertentu boleh sampai tiga tahun.

“Jadi, dalam keperluan 2,200 sehari, kita juga sasarkan (sekurang-kurangnya) jumlah penderma yang sama. Kita juga ada 98 pusat kutipan di seluruh negara untuk memudahkan orang awam menderma selain kempen-kempen di luar,” katanya.

Katanya, bekalan darah diperlukan antaranya untuk kes-kes kecemasan dan pembedahan; rawatan kanser dan pembedahan kompleks; pe­ningkatan jumlah pesakit yang memerlukan rawatan darah, termasuk kes kelahiran dan penyakit kronik.

Tambah Dr. Mohammad Masrin, menderma darah adalah selamat dan memberi manfaat kepada kesihatan apabila terdapat beberapa individu yang pernah menderma lebih 500 kali.

Beliau memaklumkan, hampir 2,000 beg darah dikumpul menerusi Kempen Derma Darah Perdana: UiTM Heartbeat dan disifatkan paling banyak diperoleh dalam satu-satu program.

“Program ini julung kali diadakan UiTM dengan kerjasama PDN dan disambut baik hampir 2,000 penderma dalam kalangan mahasiswa, kakita­ngan universiti dan alumni di 22 kampus di seluruh negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN