WASHINGTON: Seorang lelaki warga Amerika Syarikat (AS) didapati bersalah di Mahkamah Persekutuan kerana menyamar sebagai pramugara sekurang-kurangnya 120 kali sejak tahun 2018 bagi membolehkan dirinya menaiki pesawat secara percuma tanpa perlu membeli tiket.
Tertuduh, Tirone Alexander, 35, berdepan pertuduhan memasuki kawasan keselamatan lapangan terbang secara menipu serta melakukan penipuan melalui rangkaian komunikasi sebanyak lebih 120 kali dalam tempoh enam tahun.
Menurut kenyataan pendakwa raya, Alexander mengambil kesempatan terhadap polisi penerbangan yang membenarkan juruterbang dan kru kabin daripada syarikat penerbangan lain menaiki penerbangan secara percuma untuk tujuan peribadi atau urusan kerja.
Alexander pernah berkhidmat sebagai pramugara di sebuah syarikat penerbangan serantau antara 2013 hingga 2015, sebelum dia menyalahgunakan pengetahuan tersebut untuk menipu sistem daftar masuk dalam talian pelbagai syarikat penerbangan.
Alexander akan memilih kategori pramugara ketika membuat daftar masuk dalam talian, serta mengisi maklumat seperti majikan, tarikh mula bekerja dan nombor kakitangan menggunakan butiran palsu.
“Bukti di mahkamah menunjukkan Alexander menyamar sebagai pramugara bagi tiga syarikat penerbangan berbeza selain menempah lebih 120 penerbangan percuma dengan maklumat palsu,” kata pendakwa raya.
Antara destinasi yang dilaporkan menjadi laluan kegemarannya termasuk Atlanta, Dallas, Las Vegas dan Los Angeles, dengan tempahan dibuat menerusi tiga syarikat penerbangan berbeza sepanjang 2018 hingga 2024.
Alexander mendakwa dia berkhidmat dengan tujuh syarikat penerbangan dan menggunakan hampir 30 kombinasi nombor pengenalan dan tarikh mula bekerja yang berbeza untuk mengaburi sistem pengesahan.







