PKP penuh di Selangor dibincang - Utusan Malaysia

PKP penuh di Selangor dibincang

DZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor melalui Pasukan Petugas Khas Menangani Covid-19 Selangor (STFC) sedang melakukan perbincangan berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh di negeri ini.

Pengerusi STFC, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, perbincangan itu dilakukan susulan cadangan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba yang mungkin melaksanakan PKP penuh di Selangor.

“Saya bersama ahli STFC lain sedang bermesyuarat ketika ini.

“Hasil mesyuarat ini akan dimaklumkan selepas mesyuarat tamat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Terdahulu, Adham dalam sidang akhbar bersama Menteri Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin mengumumkan kemungkinan Kementerian Kesihatan melaksanakan PKP penuh dan lebih ketat di Selangor setelah melihat kes jangkitan Covid-19 di negeri itu masih tinggi.

Beliau berkata, pelaksanaan PKP tersebut membolehkan pegawai kementerian melaksanakan ujian saringan, pengasingan dan rawatan kepada individu yang dijangkiti virus terbabit.

Statistik jumlah jangkitan Covid-19 yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan semalam menunjukkan Selangor menjadi negeri yang paling tinggi mencatatkan kes jangkitan baharu iaitu sebanyak 1,650 kes.

Dalam perkembangan berasingan, kerajaan negeri menafikan penularan mesej pendaftaran vaksin Sinovac menerusi aplikasi SELangkah.

Pejabat Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dalam kenyataannya menjelaskan, mesej tular tersebut adalah palsu.

Kata kenyataan itu, sebarang pengumuman rasmi berkenaan vaksin Covid-19 di Selangor hanya dikeluarkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari atau Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Keluarga, Dr. Siti Mariah Mahmud. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×