Sektor pembuatan nampak kukuh tetapi berdepan cabaran tersembunyi

Sektor pembuatan nampak kukuh tetapi berdepan cabaran tersembunyi

MEMPELBAGAIKAN subsektor pembuatan dapat membantu mengurangkan renjatan permintaan global dalam sektor Elektrik & Elektronik (E&E).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAPORAN Perangkaan Pembuatan Bulanan bagi April 2025 melantunkan sebuah kejayaan sekali gus membuktikan nadi utama ekonomi negara bukan sekadar berdenyut, tetapi berdegup kencang dengan penuh bertenaga.

Prestasi dipamerkan sektor pembuatan bukan lagi sekadar tanda pemulihan tetapi merupakan bukti sahih Malaysia sedang melalui fasa transformasi ekonomi yang mantap.

Secara keseluruhannya, sektor ini merekodkan nilai jualan mencecah angka luar biasa, iaitu RM160.6 bilion, menandakan lonjakan tahunan yang amat teguh sebanyak 4.8 peratus.

Kejayaan ini tidak bersandarkan pada satu tiang sahaja, sebaliknya dipacu dua ‘enjin berkuasa tinggi’ yang bergerak serentak.

Di pentas global, subsektor Peralatan Elektrik & Elektronik (E&E) terus gah, menyumbang satu pertiga (33.7 peratus) daripada keseluruhan jualan dan mencatatkan pertumbuhan tahunan yang cemerlang sebanyak 9.8 peratus.

Prestasi ini mengesahkan kedudukan strategik Malaysia dalam rantaian bekalan teknologi dunia. Pada masa sama, di halaman sendiri, enjin permintaan domestik turut mengaum hebat. Subsektor Makanan, Minuman & Tembakau meledak dengan pertumbuhan dua angka 11.1 peratus, satu isyarat jelas mencerminkan keyakinan pengguna dan kuasa beli rakyat semakin kukuh.

Namun, kejayaan sebenar terletak pada impaknya kepada rakyat. Pertumbuhan ekonomi ini bukan sekadar angka di atas kertas, tetapi diterjemahkan kepada peluang pekerjaan dan peningkatan pendapatan yang boleh dirasai. Sektor ini berjaya mewujudkan lebih banyak pekerjaan, dengan bilangan tenaga kerja meningkat sebanyak 1.2 peratus kepada 2.40 juta orang. Lebih membanggakan, gaji dan upah yang diagihkan kepada jutaan pekerja ini meningkat sebanyak 2.4 peratus kepada RM8.31 bilion, dengan purata gaji bulanan kini mencecah RM3,460.

Paling signifikan dan yang menjadi petunjuk utama Malaysia sedang bergerak ke arah ekonomi berpendapatan tinggi ialah lonjakan produktiviti. Nilai jualan bagi setiap pekerja melambung sebanyak 3.6 peratus. Ini membuktikan kita bukan lagi sekadar menambah bilangan tangan, tetapi sedang meningkatkan nilai dan kecekapan setiap pekerja – satu resipi utama untuk kemakmuran jangka panjang yang mampan.

MENELITI KUALITI, KESEIMBANGAN PERTUMBUHAN
Di sebalik angka gah pertumbuhan tahunan, seorang penganalisis yang teliti akan menemui beberapa isyarat amaran yang tidak boleh diabaikan. Analisis lebih mendalam mendedahkan beberapa retakan pada permukaan, menandakan wujudnya cabaran jangka pendek dan kelemahan struktur yang menuntut perhatian strategik.

Pertama, walaupun prestasi tahunan kelihatan kukuh, data jangka pendek dari bulan ke bulan melakarkan gambaran yang membimbangkan. Nilai jualan jatuh sebanyak 2.3 peratus sementara gaji dan upah yang diterima pekerja menyusut 0.9 peratus. Lebih kritikal lagi, produktiviti setiap pekerja merosot 2.8 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Walaupun mungkin boleh dikaitkan dengan faktor bermusim, trend negatif ini umpama lampu amaran yang berkelip di papan pemuka ekonomi. Ia menimbulkan persoalan penting tentang kemampanan momentum pertumbuhgan ini, adakah ia benar-benar teguh atau terdedah kepada volatiliti yang boleh menjejaskan kestabilan dalam jangka masa terdekat?

Kedua dan yang lebih membimbangkan, ialah subsektor petroleum, kimia, getah dan plastik, yang menyumbang hampir suku (24 peratus) daripada keseluruhan jualan, sebenarnya mencatatkan penguncupan tahunan sebanyak -2.2 peratus. Ini bukan sekadar sedikit kelemahan, tetapi trend negatif yang signifikan dalam salah satu tonggak utama sektor.

Keadaan ini mendedahkan kelemahan struktur yang kritikal iaitu pergantungan berlebihan kepada sektor E&E. Ia memaksa kita bertanya, apakah yang akan berlaku kepada ekonomi pembuatan sekiranya permintaan global untuk produk E&E mula perlahan? Kebergantungan kepada satu atau dua enjin utama semata-mata adalah pertaruhan yang berisiko tinggi.

Akhir sekali, isu paling dekat dengan denyut nadi rakyat iaitu kualiti pertumbuhan gaji. Walaupun purata gaji bulanan mencatatkan kenaikan tahunan, namun kadar peningkatannya hanyalah 1.2 peratus. Pada kadar ini, kenaikan tersebut kelihatan amat perlahan dan rapuh.

Persoalannya, adakah peningkatan nominal ini benar-benar membawa makna apabila ia ditelan kenaikan kos sara hidup dan kadar inflasi? Pertumbuhan ekonomi yang sejati haruslah dirasai di dalam poket setiap pekerja. Kenaikan gaji yang tidak mampu mengatasi inflasi bermakna kuasa beli rakyat sebenarnya terhakis, menjadikan pertumbuhan yang dicanangkan itu kurang bermakna bagi kesejahteraan mereka.

DI LANDASAN BETUL
Maka, apakah kesimpulan akhir yang dapat kita rumuskan? Berdasarkan bukti kukuh dibentangkan sektor pembuatan, jawapannya tidak dapat disangkal lagi. Ya, ekonomi Malaysia sememangnya sedang mengemudi di haluan tepat. Pertumbuhan dipacu triniti kekuatan, peningkatan produktiviti, kerancakan eksport berteknologi tinggi dan permintaan domestik berdaya tahan adalah resipi kejayaan diidamkan mana-mana negara yang bercita-cita untuk maju.

Prestasi cemerlang ini membuktikan agenda ekonomi negara yang memberi tumpuan kepada industri bernilai tambah tinggi bukan lagi sekadar retorik di atas kertas, tetapi sudah mula membuahkan hasil nyata.

Namun, laporan ini lebih daripada sekadar satu surat pujian, ia adalah cermin realiti dan satu peringatan yang penting. Kita sama sekali tidak boleh terbuai dengan kejayaan jangka pendek. Kelemahan sektor subsektor utama seperti petrokimia dan kadar pertumbuhan gaji yang sederhana perlu diperbaiki sebelum menjadi lebih besar.

Ujian sebenar bagi kemakmuran negara bukanlah terletak pada angka-angka suku tahunan, tetapi pada keupayaan kita sebagai sebuah negara untuk menangani cabaran-cabaran ini secara berstrategik.

Kejayaan masa hadapan bergantung sepenuhnya pada kemampuan untuk:
– Mempelbagaikan enjin pertumbuhan: Kita perlu secara agresif membina dan memperkasakan enjin-enjin pertumbuhan baharu dalam sektor pembuatan supaya ekonomi tidak lagi terlalu terdedah kepada renjatan permintaan global dalam sektor E&E semata-mata.
– Merawat kelemahan struktur: Masalah yang menekan subsektor petrokimia memerlukan penyelesaian yang mendalam dan bukan sekadar ‘ubat penahan sakit’. Ini melibatkan pembaharuan dasar, inovasi dan mungkin juga peralihan strategik.
– Menjadikan kemakmuran inklusif: Ini adalah tugasan yang paling kritikal. Setiap peratus peningkatan produktiviti mesti diterjemahkan kepada peningkatan gaji yang lebih adil dan signifikan. Tanpa ini, ‘pertumbuhan’ hanya akan menjadi konsep abstrak yang dirasai segelintir pihak, manakala majoriti tenaga kerja terus bergelut dengan peningkatan kos sara hidup.-UTUSAN

DR. Abu Sufian Abu Bakar ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Wang dan Bank, Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Timbalan Pengerusi Forum Ekonomi Manusiawi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×