AS, Russia saling berlumba modenkan senjata nuklear

AS, Russia saling berlumba modenkan senjata nuklear

TANGKAP layar rakaman menunjukkan pasukan peluru berpandu Russia menjalankan latihan senjata nuklear taktikal di selatan negara itu. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

STOCKHOLM: Penyelidik memberi amaran, negara-negara besar terus berlumba mempertingkatkan usaha memodenkan senjata nuklear mereka tahun lalu, meletakkan dunia dalam perlumbaan baharu menghampiri ‘kiamat’.

Menurut Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI), kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) dan Russia yang menyumbang sekitar 90 peratus daripada keseluruhan stok senjata nuklear dunia didapati menghabiskan sepanjang tahun lalu menaik taraf sistem sedia ada dan memperkenalkan versi lebih baharu.

Sejak berakhirnya Perang Dingin, bilangan kepala peledak nuklear biasanya menurun kerana proses pelucutan senjata mendahului pembangunan baharu namun, SIPRI memberi amaran trend tersebut dijangka berubah dalam beberapa tahun akan datang.

Pengarah SIPRI, Dan Smith berkata, beliau khuatir dunia kini menghadapi ancaman baharu pada saat geopolitik yang sangat berbahaya dan tidak stabil dengan bilangan kepala peledak nuklear aktif yang mula meningkat.

“China juga semakin mengejar dengan memiliki sekitar 600 kepala peledak nuklear dan dilaporkan sudah menambah 100 lagi sepanjang dua tahun lalu. Negara ini sedang meningkatkan kuasa nuklearnya secara berterusan dan boleh mencapai 1,000 kepala peledak dalam tempoh tujuh atau lapan tahun akan datang.

“Walaupun jumlah tersebut masih jauh lebih rendah berbanding AS dan Russia, ia tetap akan menjadikan China pemain yang jauh lebih besar dalam landskap nuklear global. Kita sedang melihat petanda jelas perlumbaan senjata nuklear baharu sedang muncul,” katanya.

SIPRI menganggarkan terdapat 12,241 kepala peledak nuklear di seluruh dunia pada Januari 2025, dengan 9,614 daripadanya tersedia untuk digunakan.

Smith menegaskan, perlumbaan kali ini juga bukan sekadar melibatkan bilangan kepala peledak, tetapi persaingan dari segi teknologi canggih di ruang angkasa dan siber.

“Penggunaan perisian dan sistem panduan yang mengawal senjata nuklear serta perkembangan pesat dalam bidang kecerdasan buatan (AI) turut memainkan peranan penting, walaupun buat masa ini ia hanya sebagai pelengkap kepada tenaga manusia.

“Namun, langkah seterusnya menuju ke arah automasi penuh tidak sepatutnya diambil. Jika prospek kebebasan kita daripada bahaya perang nuklear diletakkan di tangan AI, maka kita akan hampir kepada senario kiamat,” katanya.

Laporan SIPRI juga menyatakan program pemodenan senjata nuklear turut berlaku di United Kingdom (UK), Perancis, India dan Pakistan.

Situasi serupa turut dilihat di Korea Utara yang menjadikan program senjata nuklear sebagai teras utama strategi keselamatannya dengan bahan mencukupi untuk menghasilkan sehingga 90 kepala peledak.

SIPRI turut menganggarkan Israel yang tidak pernah mengakui memiliki senjata nuklear mempunyai sekitar 90 kepala peledak dan sedang melaksanakan usaha pemodenan sistem pertahanannya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×