KUALA LUMPUR: Wassiyah Shoppe Sdn. Bhd. kini giat merancang peluasan pasaran antarabangsa, dengan Oman sebagai destinasi utama yang dijangka dimuktamadkan seawal suku pertama 2026.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ariffin Sabirin berkata, pihaknya kini dalam peringkat rundingan bersama pengawal selia kewangan dan beberapa bank di negara berkenaan bagi memperkenalkan produk hibah berteraskan prinsip syariah yang telah terbukti berkesan di Malaysia.
Beliau berkata, proses perundingan dan penerangan kepada pihak berkepentingan di Oman telah dimulakan sejak lebih setahun lalu dan kini berada di peringkat akhir rundingan selepas semua pihak memahami manfaat dan impaknya.
“Produk hibah ini konsep baharu buat masyarakat di Oman. Jadi kami perlu laksanakan sesi pendidikan mendalam, terutama mengenai kepatuhan kepada standard kewangan yang ditetapkan oleh Accounting and Auditing Organization for Islamic Financial Institutions (AAOIFI).
“Kami buat buy-in kepada penggubal dasar dan juga bank. Bank sangat berminat, tetapi mereka perlukan jaminan bahawa kerangka undang-undang negara membenarkan penawaran produk ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Tambahnya, semua pembangunan produk Wassiyah Shoppe bersandarkan penyelidikan rapi, termasuk dana penyelidikan berjumlah RM2 juta kepada universiti tempatan melalui projek Institut Penyelidikan Ekonomi Islam Malaysia (IMEA).
“Kami bukan hanya datang bawa produk semata-mata, tapi kami datang dengan hasil dapatan penyelidikan. Ini yang membezakan kami dan menjadi asas keyakinan dalam perbincangan dengan negara luar,” ujarnya.
Selain Oman, Wassiyah Shoppe juga sedang menilai potensi beberapa lagi negara untuk peluasan antarabangsa, khususnya di rantau Asia Barat yang menunjukkan minat tinggi terhadap produk perancangan pusaka secara komersial.
Beliau berkata, syarikat kini turut menawarkan perkhidmatan Al-Wasitah, satu pelan pengurusan pusaka yang membolehkan waris si mati mendapatkan bantuan perundangan secara percuma bagi menyelesaikan urusan pentadbiran harta.
“Pelan ini bersifat tabarru’ (sumbangan) dengan yuran serendah RM65 sebulan. Sekiranya berlaku kematian, semua kos guaman dan turun naik ke mahkamah akan ditanggung oleh kami menerusi Tabarru’ Fund.
“Wassiyah Shoppe merupakan satu-satunya syarikat di Malaysia yang menawarkan perkhidmatan tersebut sejak ia diperkenalkan pada 2017.
“Pemain lain masih mengenakan caj berdasarkan peratusan nilai harta, ada sehingga lima peratus. Tetapi kami tak kenakan apa-apa caj sebab ada dana bersama yang dikumpul daripada peserta,” ujarnya.
Menurut Ariffin, pendekatan mendidik masyarakat secara berterusan dan disokong strategi pengkomersialan yang mantap adalah kunci kepada pertumbuhan syarikat dalam tempoh lebih dua dekad lalu.
“Kita bukan sekadar memberi kefahaman, tapi juga mahu mereka bertindak dengan buat hibah dan buat perancangan. Itu cabaran yang lebih besar,” katanya.-UTUSAN










