AHMAD, seorang warga tempatan membeli minyak masak peket bersubsidi di sebuah pasar raya. Soharto, seorang warga Indonesia yang berada di negara ini juga turut membelinya dengan harga RM2.50 per kilogram (kg).
Jika mengikut harga pasaran, harga minyak masak tanpa subsidi bagi botol 1kg adalah sekitar RM6.90. Ini bermakna Soharto mendapat ‘duit rakyat’ melalui subsidi kerajaan itu bernilai RM4.40. Ini baru dikira seorang warga asing yang membeli 1kg minyak masak, bagaimana kalau 1,000 orang warga asing membelinya?
Setakat ini, tiada undang-undang atau larangan rasmi yang menghalang warga asing daripada membeli minyak masak bersubsidi.
Ketika ini lebih 3 juta warga asing berada di negara ini. Itu belum termasuk pendatang asing tanpa izin (PATI). Bayangkan berapa nilai duit rakyat ini dirampas mereka? Bukan hanya minyak masak, mereka juga menikmati pelbagai lagi subsidi pukal lain yang disediakan kerajaan.
Penjualan minyak masak dengan harga ‘murah’ ini turut mendedahkan kepada kegiatan penyelewengan apabila ada pihak tidak bertanggungjawab membeli minyak masak peket bersubsidi untuk dibuat biodiesel kerana harga bahan bersubsidi itu lebih murah daripada minyak masak kitar semula.
Soal ketirisan ini bukan lagi membabitkan penyeludupan ke negara jiran. Ada juga kes di mana penyelewengan pemborong dapat minyak masak peket, menjual pula kepada syarikat-syarikat mikro dengan harga yang tinggi.
Maka sasaran subsidi ini tidak berlaku. Sedangkan kerajaan memperuntukkan lebih RM1.5 bilion hanya bagi subsidi minyak masak paket sejak 2023.
Kerajaan mula memperkenalkan subsidi sejak merdeka dan secara aktif dilaksanakan pada era 1970-an sebagai satu alat intervensi kerajaan untuk mengurangkan beban kos sara hidup rakyat, menyokong industri strategik serta menjamin kestabilan politik dan sosial.
Lebih lima dekad rakyat menikmati subsidi yang diperuntukkan kerajaan yang pada asasnya untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat, menstabilkan harga pasaran serta mengurangkan jurang ekonomi antara golongan kaya dan miskin.
Namun, pemberian subsidi secara pukal ini telah menyimpang dari tujuan asal untuk membantu golongan sasar kerana ia turut dinikmati oleh golongan kaya termasuk warga asing yang berada di negara ini selain industri berskala besar.
Lebih mengecewakan lagi, usaha untuk menjayakan penyasaran subsidi mula dimanipulasi sehingga inisiatif yang bertanggungjawab ini, dilihat seolah-olah negatif kepada masyarakat. Ini berlaku berikutan tindakan pihak tertentu termasuk segelintir pemimpin politik yang cuba meracuni pemikiran rakyat kononnya penyasaran subsidi adalah langkah menarik atau memotong subsidi daripada rakyat. Hakikatnya, penyasaran atau rasionalisasi atau memotong subsidi adalah berbeza sama sekali.
Pasca 2010 menyaksikan, kerajaan sudah mula menstruktur semula subsidi dengan memperkenalkan pendekatan subsidi bersasar disebabkan ketirisan yang terus berlaku di pelbagai peringkat, sehingga kerajaan pula terpaksa menanggung beban fiskal yang tinggi. Justeru, langkah rasionalisasi subsidi yang diperkenal dan diteruskan hingga kini dijayakan demi keperluan kecekapan ekonomi.
Kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim kini mempergiatkan, memperluas dan menyusun semula pelaksanaannya secara lebih menyeluruh dan sistematik. Ia mengambil kira perbelanjaan subsidi meningkat mendadak, melebihi RM80 bilion pada 2022, terbesar dalam sejarah Malaysia.
Langkah konkrit dimulakan dengan penyasaran semula subsidi elektrik; diesel dengan pengenalan kad fleet untuk syarikat logistik dan tunai RM200 untuk individu layak termasuk penyasaran subsidi haji.
Rangka kerja Pangkalan Data Utama (PADU) dibangunkan untuk menyokong subsidi bersasar dengan penekanan kepada keadilan sosial fiskal, iaitu hanya yang benar-benar layak akan dibantu.
Ternyata, penyusunan semula subsidi menampakkan hasil apabila jumlah peruntukan subsidi dan bantuan kerajaan berkurangan iaitu RM71.873 bilion pada 2023; RM67.360 bilion (2024) dan RM52.571 billion (jangkaan pada tahun ini).
Ini membolehkan dana kewangan kerajaan itu dapat disalurkan untuk pembangunan projek bersifat rakyat yang lebih memberi manfaat secara menyeluruh.
Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Universiti Malaya (UM), Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berpandangan, pelaksanaan subsidi bersasar ini adalah tepat dan berani serta memperlihatkan kesungguhan kerajaan untuk memberi keadilan ekonomi kepada kumpulan yang benar-benar memerlukan dan kelompok yang perlu menunaikan tanggungjawab membantu kerajaan memakmurkan ekonomi negara.
Sekiranya tiada penyasaran subsidi, golong mahakaya akan mengambil hak kumpulan rakyat bawahan dan menyebabkan berlakunya ketidakadilan yang berterusan.
Dalam pelaksanaan tindakan tidak popular ini, timbul cakap-cakap orang bahawa ia boleh memberi kesan kepada peningkatan harga barangan apabila ada pihak dalam kalangan peniaga cuba mengambil kesempatan.
Mengulas mengenai kebimbangan ini, Mohammad Tawfik berkata, kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) semakin agresif menguatkuasakan peraturan bagi memastikan peniaga tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga.
“Kita dapat lihat serbuan serta tindakan kompaun yang berterusan dilakukan penguat kuasa untuk memastikan tiada peniaga yang cuba mengambil kesempatan. Malah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan juga berganding bahu memastikan bekalan sumber makanan sentiasa stabil di pasaran,” katanya.
Pada masa sama, beliau bersetuju jika subsidi bersasar dilaksanakan menerusi penggunaan MyKad dan data sedia ada yang dimiliki oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dapat dimuatkan dalam MyKad bagi menyaring kumpulan yang berhak menerima subsidi atau sebaliknya.
Hasrat kerajaan untuk melaksanakan penyasaran subsidi untuk petrol RON95 pula pada penggal kedua tahun ini harus diteruskan atas jaminan 85 peratus rakyat negara ini tidak akan terkesan. Melalui langkah ini, kerajaan dijangka mampu menjimatkan kewangan negara sekurang-kurangnya RM8 bilion setahun.
Bagaimanapun, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pemberian subsidi petrol secara bersasar tidak sepatutnya terhad kepada golongan B40, tetapi perlu diperluaskan kepada kumpulan M40 terutama mereka yang tinggal di bandar dan mempunyai tanggungan ramai.
Sebelum ini, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memaklumkan, kerajaan akan mengumumkan mekanisme lengkap bagi melaksanakan penyelarasan subsidi petrol RON95 dengan menggunakan sistem MyKad dan dua kadar harga iaitu harga subsidi dan tanpa subsidi.
Jika kerajaan terus memberi subsidi secara pukal, kerajaan pada masa akan datang sukar untuk menambah peruntukan pembangunan, menaik taraf infrastruktur daif dan membela kebajikan rakyat yang terkesan dengan pelbagai inisiatif yang mampu meringankan kehidupan mereka.
Negara perlu memfokuskan kepada pembangunan dan tidak boleh berterusan menampung subsidi yang besar kerana kita sedang berusaha menuju negara moden yang memerlukan tumpuan khas kepada pembangunan, industri dan modal insan berkualiti. – UTUSAN
PENULIS ialah koresponden Utusan Malaysia Putrajaya.










