KUALA LUMPUR: Sebuah pusat hiburan ‘ala bollywood’ di Jalan Munshi Abdullah yang beroperasi bermula pukul 9 malam pada setiap hari digempur polis awal pagi tadi.
Serbuan Op Noda itu bermula kira-kira pukul 2 pagi dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur adalah berdasarkan hasil maklumat dan risikan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, seramai 36 wanita terdiri daripada 31 warga Bangladesh serta lima Nepal yang berperanan sebagai penari di premis berkenaan diperiksa pihaknya.
Katanya, pemeriksaan juga dilakukan terhadap 38 pelanggan premis di setiap tingkat membabitkan warga tempatan, Bangladesh, Nepal, Pakistan dan India.
“Sepanjang operasi, kita telah menahan lapan warga asing berusia lingkungan 20 hingga 40-an termasuk seorang wanita atas kesalahan imigresen.
“Ada antara tangkapan ini dipercayai merupakan pengurus, pekerja serta pelanggan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati pusat hiburan berkonsepkan ‘bollywood’ tersebut beroperasi bermula pukul 9 malam setiap hari.
Jelasnya, purata pendapatan setiap pekerja dianggarkan RM1,800 hingga RM2,000 sebulan.
“Kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk siasatan lanjut,” katanya.
Tinjauan mendapati serbuan melibatkan enam premis yang berada di tingkat berasingan manakala satu tabung yang diletakkan dengan nama penari wanita dipercayai sebagai tip daripada pelanggan.
Seorang pelanggan warga Pakistan berusia lingkungan 40-an mendakwa, dia sering ke premis terbabit pada setiap hujung minggu.
“Saya dan kawan datang untuk lepak minum sahaja. Mahu tengok wanita ini menari sahaja,” katanya.- UTUSAN










