MUKADIMAH
MENGINJAK usia 44 tahun, AHMAD FAUWAZ FADZIL menjadi orang termuda dilantik Mufti Wilayah Persekutuan ke-9 pada 23 Mei lalu. Mahu mengangkat pendekatan ‘Merakyatkan fatwa, Memayungi Ummah’, anak bekas Presiden Pas, Allahyarham Datuk Fadzil Mohd Noor itu adalah tokoh ilmuwan prolifik dalam bidang perundangan dan kewangan Islam, pendidikan, dakwah serta penyelidikan.
Lulusan Universiti Al-Azhar dalam bidang Syariah Islamiyyah serta memiliki Ijazah Sarjana Usul Fiqh dari Universiti Malaya, Sijil Kemahiran Fatwa dari Dar al-Ifta Mesir dan pensijilan antarabangsa seperti Certified Sharia Advisor and Auditor (CSAA), beliau ingin mendekati pelbagai lapisan masyarakat supaya mereka dapat menjadikan fatwa sebagai panduan kehidupan.
“Fatwa adalah rahmah dan kasih sayang. Sebab itu syarat menjadi mufti, mesti penyayang kepada masyarakat. Tak perlu ikut saya, tetapi ikut dasar dan fatwa,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kompleks Islam, Putrajaya, baru-baru ini.
Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, MOHD. RADZI MOHD. ZIN, MAISARAH SHEIKH RAHIM dan AQILAH MIOR KAMARULBAID bersama Jurufoto, FAISOL MUSTAFA dan juruvideo ZUID SAMSON, Fauwaz mahu fatwa menjadi satu solusi, bukan provokasi yang boleh menyebabkan perpecahan ummah.
AZAM MUFTI
MINGGUAN MALAYSIA: Apakah azam atau misi dalam mengemudi Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan?
AHMAD FAUWAZ: Alhamdulillah setelah dilantik pada 23 Mei, saya ingin menjadikan Jabatan Mufti bersama pasukan supaya setiap fatwa dijadikan sebagai fatwa yang bersifat ketamadunan, seragam dengan dasar negara. Kalau boleh fatwa menjadi rujukan utama berdasarkan enakmen.
Mufti ini adalah ketua agama selepas Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dari sudut kata-katanya menjadi rujukan utama kepada masyarakat di peringkat Wilayah Persekutuan. Dengan punca kuasa yang ada, sasaran saya adalah menjadikan fatwa itu menyelusuri semua peringkat. Baik kumpulan rakyat biasa, golongan peniaga, korporat atau pemimpin supaya mereka menjadikan fatwa sebagai panduan kehidupan mereka. Bukan saya, tetapi fatwa itu sendiri sebagai payung kepada umat.
Tagline saya, ‘Fatwa Memayungi Ummah’ kerana sebagai sebuah negara Islam, kita tegaskan Malaysia adalah negara Islam untuk melaksanakan agenda reformasi, maka salah satu instrumennya adalah fatwa.
Ini kerana fatwa membantu semua aspek kehidupan, baik individu, keluarga, agensi atau kerajaan. Kita nak sesuaikan dengan status negara Islam. Apabila kerajaan atau masyarakat nak buat sesuatu sama ada zakat, wakaf atau apa-apa tindakan di sudut perundangan, kita perlukan fatwa itu. Sebelum nak bawa dalam peringkat perbincangan, pindaan dan sebagainya, mesti ada kelulusan fatwa secara amnya.
Maka wawasan saya adalah untuk merakyatkan fatwa dan menjadikan fatwa itu pencetus kepada kemajuan negara, bukan penghalang.
Fatwa adalah rahmah dan kasih sayang. Sebab itu syarat menjadi mufti, mesti penyayang kepada masyarakat. Dia tidak boleh ada perasaan dendam, perasaan mahu menyekat mereka. Sebabnya kita cuba memberikan syariah dalam bentuk fasiliti kemudahan. Kalau diharamkan satu perkara, kita buka pintu lain.
Maka fatwa ini adalah satu solusi, bukan provokasi yang dibahaskan dalam bentuk pertengkaran sehingga menyebabkan perpecahan ummah. Sebaliknya menjadikan ummah ini lebih tersusun, terarah.
Maka Jabatan Mufti yang berada di tengah-tengah semua sektor, kerajaan dan agensi kita berupaya menjadi trustee yang paling amanah. Untuk menjadi trustee ini, kita harus ada beberapa kriteria iaitu ilmu, memahami realiti dan melihat kepada masa depan agar fatwa, dasar kerajaan dan kehidupan masyarakat itu wujud sinergi, terurus sehingga mereka rasa syariah ini memberikan keuntungan baik dunia dan akhirat.
Fatwa itu, ada rahmahnya, ada nilai keadilan, nilai hikmah, kebijaksanaan yang menjadikan fatwa itu memayungi semua umat termasuk masyarakat bukan Islam. Mereka rasa selamat bila fatwa dikeluarkan itu, hak-hak mereka terjamin.
Hak mereka sebagai orang yang beragama, hak mereka sebagai rakyat warganegara, hak mereka bekerja, hak mereka dalam bentuk kebebasan yang terikat dengan undang-undang dan juga nilai murni. Maka ini wawasan yang kita mahu bawa dalam versi fatwa ketamadunan di era Madani.
MUFTI DAN JURANG MASYARAKAT
Selama ini orang memandang mufti ini seperti ada jurang dengan masyarakat. Bagaimana pendekatan yang mahu dibawa untuk mendekatkan dengan masyarakat?
Saya rasa tidak berapa tepat kerana dari dulu lagi mufti mesra dengan masyarakat. Cuma mungkin berbeza pendekatan. Jadi, langkah pertama yang kita buat di sini memperbanyakkan artikel supaya orang melihat kita ini peka dengan isu semasa dan cakna.
Yang kedua, saya mahu melaksanakan program Jelajah Mufti di peringkat masjid di Wilayah Persekutuan. Kita bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk saya turun ke masjid sebanyak mana termampu.
Kita akan ada sesi soal jawab. Dan saya merencana untuk turun bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di mana-mana beliau datang sembahyang Jumaat di masjid-masjid di Wilayah Persekutuan, saya akan baca khutbah. Kita seiring dengan kerajaan.
Yang ketiga, saya akan melaksanakan telefon bimbit mufti. Kita akan letak di ruang media sosial untuk siapa sahaja berhubung dengan mufti secara terus.
Dan saya juga akan jawab di aplikasi TikTok. Saya beri peluang kepada orang bahawa mufti sangat penyayang kepada masyarakat. Bukan keperibadian saya, tapi mufti itu sendiri.
Yang keempat, kita akan mengadakan program-program bersama dengan masyarakat dalam bentuk dialog, kemunculan di televisyen dan radio untuk kita sama-sama terbuka. Saya harap semua agensi kerajaan swasta atau mana-mana pihak berkepentingan, saya buka untuk berhubung dengan kami, menjemput saya untuk berdialog atau berbincang kerana saya merancang dari sudut membina rakan strategik.
Dan saya bercadang untuk turun ke pasar malam. Ini juga antara perkara yang saya rancang untuk melihat bagaimana fasiliti, kemudahan. Dan kita hendak lancarkan solat di pasar malam yang mana tidak perlu tutup pasar malam, solat di situ juga. Ini memudahkan mereka berniaga.
PEMAHAMAN FATWA
Apakah kefahaman yang mahu dibawa menerusi fatwa?
Fatwa ini saya nak tekankan bahawa ia bersifat dua dimensi utama dalam maqasid syariah. Pertama, Maqasid Tadayyun iaitu mengamalkan agama. Semua tindakan kita mesti bertepatan dengan maqasid ibadat.
Dan kedua, Maqasid Umran (pembangunan dunia) iaitu fatwa ini ada dalam pembangunan sosial, pendidikan, ekonomi. Jadi fatwa menyokong ibadat dan pembangunan manusia. Jadi itu matlamat dan cara pendekatan kita untuk memasyarakatkan fatwa.
Maknanya kalau ada ruang kita mungkin turun bermesra dengan remaja, bermain sukan. Saya juga ada target untuk turun ke penjara melihat banduan. Sebab, bagi saya rakyat Malaysia semua orang adalah aset yang akan membayar zakat dan cukai ataupun menyumbang. Termasuk banduan, OKU, orang bukan Islam, atau sesiapa sahaja atas nama warganegara Malaysia sebagai modal yang boleh digunakan kerajaan untuk membangunkan negara maju.
KEKELIRUAN ORANG RAMAI
Fatwa ini di setiap negeri berlainan. Bagaimana mahu mengelak kekeliruan dalam kalangan masyarakat?
Kita ada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) yang boleh menyelaraskan pandangan dipengerusikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. Saya rasa semua bermula dengan khilaf dan akhirnya kita dapat menyantuni kekhilafan itu. Khilaf adalah satu perkara yang mengayakan pandangan.
Sebab kita bersetuju untuk tidak bersetuju supaya menunjukkan kepada kebebasan berfikir. Sebelum ini, ada pandangan mengenai hukum bekerja di bank konvensional yang dikeluarkan oleh Pejabat Mufti.
Jadi, ada timbul kekeliruan dalam masyarakat tentang isu itu. Saya rasa itu bukan satu fatwa, sebaliknya satu pandangan. Itu hak-hak seorang mufti untuk berpandangan. Tetapi apabila kita nak menjadikan sebagai satu dasar, sudah tentu ia perlu dibahaskan dalam bentuk kerangka yang lebih luas.
Sebab itu, kita tidak ada fatwa rasmi yang menyuruh untuk berhenti kerja di bank konvensional. Itu pandangan atau mungkin kita namakan fatwa peribadi.
Masyarakat kena bijak dalam memberi hak untuk sesiapa memberi pandangan. Kalau tak bersetuju itu, itu soal kedua. Tapi jangan sampai kita mengikat seorang mufti untuk memberi pandangan. Dan akhirnya lama-lama mufti pun malas memberi pandangan.
SENSITIVITI AGAMA, KAUM
Apakah peranan Jabatan Mufti untuk menyelesaikan masalah masyarakat yang memainkan sensitiviti kaum dan agama?
Asasnya kita perlu membina masyarakat yang bersifat menyinari. Bukan dalam bentuk membina masyarakat provokasi. Dan masyarakat perlu menyedari untuk membina masyarakat yang kuat, memerlukan ruang keamanan. Dan ruang keamanan itu adalah maqasid yang tertinggi.
Keamanan ini adalah syarat kejayaan kepada ibadat. Kalau kita berperang, bergaduh, hendak buat ibadat pun tak boleh, mahu pergi haji pun tak boleh. Syarat kepada ekonomi, kemampanan, sosial, politik dan sebagainya, pemikiran dan perbincangan masyarakat perlu ke arah menghormati bidang dan hormat kemuliaan agama masing-masing.
Apakah pandangan ustaz apabila ada pihak yang bukan Islam suka memetik ayat-ayat al-Quran dalam ucapan atau penulisan mereka?
Tak ada masalah. Itu kebanggaan kepada kita dengan syarat niat mereka untuk belajar daripada Islam. Apa niat mereka tulis? Kalau mereka kagum dengan Islam, itu satu perhargaan kepada kita kerana masyarakat ini yang berlainan, mempengaruhi atau dipengaruhi. Duduk bersama dalam masyarakat bukan Islam, kalau masyarakat Islam suka baca al-Quran bermakna kita sudah mempunyai aura yang sangat kuat sehingga mereka nak belajar dengan orang lain.
Namun, kita letakkan had dan garis panduan supaya jangan digunakan untuk kepentingan parti atau kepentingan peribadi. Semua orang berhak membaca al-Quran termasuk orang bukan Islam. Tetapi dengan syarat jangan menghina sebab itu kita sebut tadi, menghormati kemuliaan. Kalau ada niat yang tak baik, itu kita kena ada perhatian khusus dari sudut undang-undang.
Orang Islam di Malaysia perlu ambil pendekatan sederhana tanpa ekstrem seperti dari sudut aliran fahaman ahli sunnah wal jamaah (ASWJ) dan aliran lain. Bagaimana nak harmonikan supaya tidak taasub dengan aliran itu?
Sebagai umat Islam, jangan kita ketengahkan isu kafir-mengkafir dan isu bida’ahkan dan memfasikkan sama-sama kita. Kebanyakan umat Islam bergaduh dalam isu khilafiyah (perbezaan), berat dan ringan. Dan kita kena faham dua tujuan yang Allah Taala mencipta kita, barulah kita boleh menyelesaikan isu khilaf dengan asas maqasid tadayyun dan umran.
Kita dicipta dengan dua tujuan, ibadah dan umran. Dua ini kita sepakat untuk mengaktifkan aqidah kita ASWJ dengan majoriti aliran asya’irah almatrudiyah.
Pada masa sama, kita menghormati majoriti. Tiada isu yang kita perlu bergaduh melainkan membuka pintu dialog dan kasih sayang kerana matlamat kita mahu jadikan negara ini maju, ada nilai agama, kebebasan, ekonomi mantap dan berdaya saing jadi suara besar dunia.
GARIS PANDUAN UNTUK ORANG ISLAM
Baru-baru ini timbul isu untuk mewujudkan garis panduan umat Islam tetapi dibantah oleh bukan Islam. Bagaimana kita boleh menyelesaikan isu begini supaya Islam tidak dikatakan tunduk kepada mereka?
Tidak ada istilah tunduk, sebenarnya mereka faham. Mereka itu rakyat Malaysia dan berhak bersuara. Kita kena berani menyantuni mereka dengan berdialog. Jadi, kalau kita buka pintu dialog, apa jua suara-suara itu kita tak anggap sebagai satu benda yang menakutkan sebab suara kita kuat. Kalau kita kuat dengan hujah, dalil, siapa saja yang menyuarakan ketidakpuasaan hati, insya-
Allah pihak Jabatan Mufti bersedia untuk berdialog. Kita tiada masalah dengan suara-suara sedemikian kerana itu bukan ancaman, itu suara saja. Tak ada mereka nak angkat senjata atau ubah Perlembagaan. Kalau ada suara kecil, perlu dilihat dari sudut berapa peratus suara itu.
ISU PALESTIN
Bagaimana peranan Mufti di peringkat antarabangsa terutama bersuara dalam isu Palestin?
Suara Mufti suara Ummah, mewakili suara dan pemikiran ummah. Mufti seluruh dunia berperanan menyuarakan suara mereka dari sudut pelbagai aspek seperti penyatuan ummah, isu Palestin, fatwa, membantu umat Islam, kewajipan bersatunya umat Islam juga boleh menyuarakan penyatuan umat Islam dari sudut puasa bersama, menyuarakan satu mata wang seperti Euro, kita mensinergikan tempat-tempat pelancongan, menggalakkan pelancongan ke tempat-tempat negara Islam.
Menyuarakan hak kebebasan, kita ada Human Rights 1948 yang menerangkan tentang hak-hak kemanusiaan berdasarkan pandangan syariah untuk membezakan dengan Resolusi Human Rights 1948 yang dibawa negara Barat dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Kita bandingkan di mana titik persamaan.
ARWAH BAPA
Ada pandangan menyatakan Ustaz dibayangi oleh arwah bapa dalam pandangan politik. Komen ustaz?
Kalau bayangan itu dia tak boleh lebih daripada 30 peratus genetik, tidak banyak sangat. Anak yang soleh selalu tidak bersama cara dengan ayahnya. Dia bukan ‘copy paste’ ayahnya. Dia sentiasa membawa agenda perubahan.
Semua ulama belajar dengan guru hampir 70 peratus pandangan mereka berbeza dengan guru mereka. Itulah anak murid yang bagus. Anak murid yang tidak bagus dia membawa 100 peratus pandangan guru dia.
Sebagai anak, saya tidak boleh membawa agenda yang sama kerana zaman dia berbeza, kehidupan berbeza, keperluan dia berbeza. Mungkin dasar sama, nilai keadilan, nilai akhlak, tapi pendekatan berbeza. Bukan dalam politik sahaja, tetapi dalam bidang fatwa tetapi ada titik pertemuan kepada nilai keadilan, nilai kemanusiaan pada prinsip sama.
AGAMA DAN POLITIK
Adakah wujud perpecahan jika menggunakan agama dalam politik?
Tidak mengapa kalau nak guna nama apa pun, tapi jangan menjadikan politik itu sebagai akidah. Politik parti-parti ini hanya mencari kebenaran, menolak kebatilan. Yang berlaku perpecahan apabila golongan politik menjadikan politik itu sebagai akidah yang menyebabkan kalau berbeza pandangan seolah-olah kita berbeza dari sudut kebenaran, agama dan sebagainya.
Sedangkan politik ini 90 peratus adalah khilaf dan ijtihad. Dan 10 peratus sahaja benda yang tidak berubah seperti nilai keadilan dan seumpamanya. Jadi parti politik ini kena kembali kepada dua maqasid yang saya sebutkan tadi iaitu maqasid umran dan dan tadayyun.
Ini supaya mereka percaya data dan melihat kepada realiti perjuangan parti-parti ini sebenarnya mereka bersepakat untuk membangunkan sebuah negara yang madani, maju, negara yang ada kontrak sosial, terikat dengan kuasa rakyat, rakyat yang lebih berkuasa daripada pemimpin kerana rakyat itu adalah prinsipal dan pemimpin adalah ejen.
Maka sebanyak mana parti yang ada mereka boleh bersatu. Sebenarnya dari sudut kerajaan, sudah ada Kerajaan Perpaduan untuk menzahirkan bahawa kita boleh bersatu.
TAULIAH
Ada dakwaan wujud masalah dalam Jawatankuasa Tauliah dalam memberikan tauliah kepada penceramah agama atau mana-mana pendakwah.
Dasar tauliah ini adalah untuk kebaikan masyarakat dan menjaga maslahah sebab semua benda mesti ada lesen, bawa kereta pun ada lesen. Semua ada lesen untuk kawalan. Kalau di zaman globalisasi ini, maklumat luar dan dalam, macam-macam boleh masuk.
Penceramah yang ada tauliah ini di bawah jagaan kita bukan untuk menyekat, tapi untuk penilaian dan interaksi kerana semua dunia berinteraksi dengan sistem. Kalau hendak jadi doktor pun kena ada tauliah, mahu sembelih haiwan pun kena ada tauliah, jadi tak ada masalah.
Mungkin kadang-kadang berlaku kelemahan itu, normal. Tetapi kita cuba mendengar kerana ia terikat dengan enakmen undang-undang, kita cuba menyantuni sedaya-upaya. Tetapi janganlah kita menyatakan apabila tidak diberi tauliah, kata pendakwah disekat, Islam disekat, mana ada Islam disekat, malah kita berkembang dengan pesat.
Boleh ustaz komen kemunculan pendakwah segera di media sosial yang memberikan penjelasan agama yang mengelirukan dalam isu tertentu?
Mereka mungkin boleh mengulas isu-isu kecil melibatkan perkara yang tidak menyentuh undang-undang. Tidak melibatkan hal umat, perkara-perkara yang berhajat kepada kajian.
Kalau secara santai tidak mengapa, tapi kalau melibatkan fatwa, perundangan dan kajian atau melibatkan pihak berkepentingan seperti Kementerian Kesihatan contohnya, sudah tentu ia berhajat kepada ruang perbincangan. TikTok itu mungkin boleh guna lima peratus untuk penerangan benda-benda biasa, sebab itu fatwa tidak digalakkan di televisyen, maknanya pihak media kena faham ada benda tidak boleh tanya, ada benda berhajat kepada mesyuarat besar kerana memerlukan khidmat pakar, yang penting kita mesti uruskan dengan baik tanpa menolak teknologi.
Bagaimana mahu menampakkan ‘taring’ Jabatan Mufti?
Kita kena membina sebanyak mana rakan strategik. Dan saya kena muncul di hadapan ramai orang dan sokongan daripada media sosial, wartawan. Bukan menyokong saya, menyokong Jabatan Mufti.
Kita kena wujudkan profil kita. Banyakkan buku. Turun ke bawah. Kena jadi macam orang politik.
Untuk menunjukkan taring, saya mesti memperbanyakkan solusi berbanding provokasi. Dan saya perlu bekerja keras lebih daripada 10 atau 12 jam sehari untuk memastikan taring itu ada. Kalau saya bekerja sehari lima jam, tak ada taring. Mesti berprasangka baik dengan orang, mesti bekerjasama.
Mesti ada pelan dan strategi dalam jangka pendek dan panjang. Dan mesti kerangka itu bersama dengan negara, barulah ada taring dan menjadikan semua orang nak kepada Jabatan Mufti.
Jadi Mufti kena ada pengikut?
Tak perlu ikut saya. Saya menasihati tidak perlu ikut saya tapi ikut dasar. Kerana saya tidak maksum (suci dari dosa). Jawatan tidak kekal, datang dan pergi. Yang penting ikut dasar bukan apa yang saya cakap.
Tapi kalau benda itu dasar dan fatwa, itu lebih baik. Kerana manusia ini boleh tertipu dan boleh hadapi kesilapan. Dan memang dulu mufti sepatutnya menjadi ikutan. Tapi peribadi saya tidak perlulah. Tak perlu ikut saya. Ikut dasar. – MINGGUAN MALAYSIA










