TAMPIN: Lebih 100 penduduk di Taman Gemencheh Baru di sini, berasa terganggu dengan kehadiran terlalu banyak lalat di kawasan perumahan itu sejak kebelakangan ini.
Penduduk, M.J. Hilavan, 26, berkata, dia menetap di situ sejak berusia tiga tahun, namun baharu kali ini berdepan serangan haiwan perosak itu secara tiba-tiba.
Katanya, kadang kala penduduk terbau busuk seperti najis binatang terutamanya pada waktu lewat petang dan malam.
“Bukan hanya di taman ini sahaja, ada penduduk di beberapa taman perumahan lain di sekitar Gemencheh ini mengalami masalah yang sama. Kami kesal kerana lalat yang banyak turut hinggap di makanan yang boleh menjadi penyebab keracunan makanan.
“Oleh itu, semalam saya telah membuat aduan secara rasmi melalui e-mel kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menyiasat perkara ini kerana benar-benar sudah mengganggu aktiviti harian penduduk,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Seorang lagi penduduk, Tham Choi Lin, 70, berkata, dia dan suami mengalami sakit pinggang kerana terpaksa memukul lalat menggunakan alat pemukul hampir setiap masa.
“Memang rimas apabila tengok lalat terbang hinggap di sofa dan lantai jadi saya dan suami pukul lalat ini. Selain itu, kami juga meletakkan pelekat lalat di dapur, ruang tamu dan lain-lain lagi kerana terlalu banyak dalam tempoh tiga hari ini,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh, Suhaimizan Bizar berkata, pihaknya sudah mengetengahkan masalah berkenaan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk siasatan. – UTUSAN









