Lautan kita, masa hadapan kita

Lautan kita, masa hadapan kita

SETIAP pelaburan dalam sains lautan hari ini adalah untuk masa hadapan yang lebih stabil, lestari dan makmur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAYANGKAN bumi ini kering tanpa lautan. Kita tiada oksigen yang cukup untuk bernafas, cuaca semakin membahang dan sumber protein terbatas. Ini sebenarnya realiti yang mungkin akan dihadapi masa hadapan.

Lebih separuh daripada oksigen yang dihirup setiap hari dihasilkan plankton yang terapung di permukaan laut. Pada masa sama, lautan juga menyerap hampir 90 peratus daripada haba berlebihan yang dihasilkan aktiviti manusia, menjadikannya pengawalatur utama sistem iklim dunia.

Namun, bumi semakin menunjukkan tanda ‘kesakitan’ yang membimbangkan.

Kajian saintifik terkini melaporkan lautan sedang berdepan tekanan yang belum pernah berlaku dalam sejarah manusia. Perubahan iklim, pencemaran dan aktiviti eksploitasi sumbernya menolak ekosistem laut ke ambang kemusnahan. Sedekad lalu mencatatkan suhu laut paling panas, dengan 2024 merekodkan suhu purata permukaan laut tertinggi dalam sejarah.

Antara isu paling kritikal melibatkan empat ancaman utama yang saling berkait dan memberi kesan mendalam kepada kesihatan lautan. Pertama, peningkatan suhu lautan akibat lebih 90 peratus haba berlebihan daripada pemanasan global diserap laut. Fenomena ini menyebabkan suhu permukaan laut meningkat setiap tahun, sekali gus mencetuskan gelombang haba marin, kelunturan besar-besaran terumbu karang dan ketidaktentuan dalam sistem iklim global.

Kedua, pengasidan lautan menjadi cabaran besar apabila meningkat sekitar 30 peratus. Keadaan ini menjejaskan keupayaan organisma seperti karang dan plankton untuk membina struktur berasaskan kalsium karbonat, yang seterusnya mengganggu kestabilan keseluruhan rantaian makanan marin.

Ketiga, lautan berdepan kehilangan biodiversiti yang serius. Sejak 1950-an, lebih separuh daripada terumbu karang dunia musnah. Spesies pemangsa utama seperti jerung dan tuna juga menunjukkan penurunan populasi yang drastik. Terbaharu, data persarangan penyu selama 30 tahun oleh Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menemui bukti saiz ibu penyu menyusut 4 sentimeter (cm) dan beratnya menurun dari 120 kilogram (kg) kepada 105 kg secara purata.

Akhir sekali, pencemaran plastik terus memburukkan keadaan. Dianggarkan sebanyak 14 juta tan plastik memasuki lautan setiap tahun. Kini terdapat lebih 170 trilion partikel plastik terapung di seluruh perairan dunia. Kesan pencemaran ini amat membimbangkan, apabila hampir 800 spesies marin dikenal pasti terjejas akibat tertelan atau terjerat plastik.

Selain itu, kerugian ekonomi global akibat pencemaran plastik di lautan dianggarkan mencecah AS$13 bilion (RM55 bilion) setahun, termasuk impak terhadap sektor pelancongan, perikanan dan infrastruktur.

Namun, cabaran masa hadapan memerlukan lebih banyak pelaburan. Bukan hanya dari segi teknologi, tetapi juga dalam pembangunan modal insan. Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) melaporkan secara purata hanya 1.7 peratus bagi peruntukan penyelidikan nasional di seluruh dunia kepada sains lautan.

UMT memainkan peranan penting dalam melahirkan generasi baharu pakar oseanografi, ahli biologi marin, jurutera maritim dan golongan profesional berkaitan lautan. Namun, usaha ini perlu disokong melalui sumber kewangan yang mantap seperti mewujudkan tabung wakaf, biasiswa, dana penyelidikan dan peluang kerjaya dalam sektor marin negara.

Kesihatan lautan adalah cerminan masa hadapan kita. Tanpa lautan yang sihat, kita kehilangan bukan sahaja biodiversiti, tetapi juga sumber makanan, kestabilan iklim dan kemakmuran ekonomi.-UTUSAN

PROFESOR. MADYA DR. MOHD UZAIR RUSLI
Universiti Malaysia Terengganu (UMT)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×