KOTA TINGGI: Seorang isteri hilang tempat bergantung apabila suaminya terpaksa berhenti kerja sebagai pengawal keselamatan kerana tidak mampu berjalan akibat diserang radang sendi.
Parini Masiran, 49, berkata, suaminya, Zamri Daud, 57, tidak dapat berjalan sejak Ramadan lalu kerana mengalami bengkak teruk pada bahagian lutut selepas memasukkan gel rawatan di klinik.
“Awalnya dia kena radang sendi kemudian pergi ke klinik dan doktor memaklumkan gel di lutut sudah habis sebelum doktor cadangkan masukkan gel dalam lutut. Tidak sangka pula lutut suami terus jadi bengkak selepas itu, suami tidak boleh jalan.
“Suami memang ada gout dan mula-mula pun ingat gout biasa, tetapi lama-lama jadi makin teruk. Sekarang langsung tidak boleh jalan, suami terpaksa guna kerusi roda, saya urus suami ke bilik air semua perlu gunakan kerusi roda,” katanya.
Dia ditemui ketika menerima kunjungan Pengurus Besar Econsave Wilayah Selatan, Mas Imran Adam di rumahnya di Taman Sri Saujana, di sini semalam.
Parini berkata, dia sekeluarga kini hanya bergantung dengan bantuan bulanan dari Baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat berjumlah RM400 dan RM500 bagi anak istimewa mereka, Muhammad Aqiel Asyraaf Zamri, 14.
Anak bongsu daripada empat beradik itu memerlukan belanja sehingga RM1,500 sebulan termasuk untuk pembelian susu khas, lampin pakai buang dan rawatan.
Zamri, sebelum ini menerima bantuan Baitulmal sebanyak RM300 sebulan sejak 2017 selepas diserang jangkitan kuman dalam otak dan kini menggunakan wang tersebut untuk perbelanjaan keluarga.
Orang ramai yang bersimpati dan ingin membantu boleh menghubungi Parini menerusi nombor telefon 013-754 3723.-UTUSAN.









