KLUANG: Kewujudan puluhan gombang tanpa lesen di sepanjang Sungai Kahang didakwa boleh mengancam keselamatan pemancing.
Gombang yang dipercayai dipasang nelayan darat di sungai berkenaan juga dilihat ditinggalkan tanpa sebarang tanda amaran selepas tidak digunakan lagi yang boleh menyebabkannya dilanggar oleh bot digunakan pemancing khususnya pada waktu malam.
Gombang merupakan alat untuk menangkap ikan dan udang galah menyerupai pukat jerut yang digunakan oleh masyarakat Orang Asli dan sering dipasang di tengah-tengah sungai.
Seorang pemancing yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd. Sopi, 35, berkata, turut boleh mendatangkan bahaya kepada pemancing adalah jaring-jaring lama yang dibiarkan terendam dalam air dan boleh tersangkut pada kipas enjin apabila bot cuba merapati tebing.
Oleh itu, dia meminta supaya Jabatan Perikanan sering turun padang untuk melihat pemasangan gombang tidak berlesen tersebut selain memberi nasihat kepada nelayan darat tentang keselamatan pemasangan alat menangkap ikan dan udang galah berkenaan di Sungai Kahang.
“Jangan nanti apabila berlaku sesuatu kecelakaan sehingga menyebabkan kehilangan nyawa barulah saling menuding jari menyalahkan antara satu sama lain.
“Kami tidak mempertikaikan tentang pemasangan alat menangkap ikan yang digunakan oleh nelayan darat ini kerana sedar ia punca mata pencarian mereka namun perlulah ada sikap bertanggungjawab terhadap keselamatan orang lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Seorang lagi pemancing, Rosli Ahmad, 45, berkata, kebanyakan tiang dan pelampung jaring gombang tidak dipasang alat pemantul cahaya bagi memudahkan pemancing melihat kedudukannya pada waktu malam.
“Bagi jaring lama serta bubu yang sudah lama dan ditinggalkan terbiar diharapkan pemiliknya dapat membersihkan kawasan sekiranya,
“Saya sudah banyak kali terkena apabila tali jaring atau bubu itu terbelit pada kipas enjin bot,” katanya.-UTUSAN.










