Tiga lagi tasik ‘berwarna’ ditemukan di Bukit Ibam

Tiga lagi tasik ‘berwarna’ ditemukan di Bukit Ibam

SEORANG penduduk menunjukkan air tasik berwarna biru yang menjadi tumpuan pelancong tempatan di Bukit Ibam, Rompin, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROMPIN: Penemuan dua lagi tasik berwarna biru dan satu tasik hijau di kawasan bekas lombong Bukit Ibam di sini, membuka lembaran baharu sektor pelancongan pekan kecil yang sekian lama mati tanpa nadi pembangunan.

Ketiga-tiga tasik itu terletak tidak jauh dari Tasik Biru Bukit Ibam, lokasi tular dalam media sosial yang kini menjadi tumpuan pelancong.

Namun, potensi tasik baharu itu belum diteroka secara menyeluruh oleh pihak berkuasa atau pemain industri pelancongan. Ia dipercayai terbentuk daripada tinggalan aktiviti perlombongan bijih besi yang rancak sekitar 1950 hingga awal 1970.

Penduduk sekitar, Norasimah Sidek, 33, berkata, tasik biru tersembunyi itu memiliki warna air lebih biru dan jernih manakala tasik hijau pula ditemukan jauh dalam hutan dengan hanya boleh diakses berjalan kaki hampir setengah jam dari jalan utama.

“Tasik hijau ini dikelilingi hutan tebal, tidak ramai tahu. Tempat ini sangat cantik dan sesuai untuk ekopelancongan jika dijaga betul-betul,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Difahamkan, warna kebiruan airnya berpunca daripada kesan logam dan mineral besi yang terlarut di dasar.

Fenomena itu menjadikan tasik kelihatan seperti cermin biru semula jadi.

Tasik Hijau pula memiliki warna kehijauan zamrud yang jernih dan memantulkan cahaya pagi, dikelilingi tebing batu serta rimba.

Ia suasana yang ideal untuk fotografi alam dan penggambaran dokumentari jika dijaga dan dibangunkan dengan berhemah.

Seorang pengunjung dari Tangkak, Johor, Noriah Arshad, 54, tidak menyangka terdapat banyak tasik unik di Bukit Ibam, selain yang dikenali umum.

“Ini adalah aset pelancongan luar biasa. Kena hebahkan segera, terutama kepada pencinta alam dan penggemar fotografi,” katanya.

Sementara itu, penduduk Kampung Bukit Ibam, Rasidah Zubir, 62, berkata, pembangunan kawasan tasik bukan sahaja penting untuk pelancongan, malah berupaya memulihara sejarah geologi dan warisan perlombongan yang hampir dilupakan.

Katanya, aktivis alam sekitar tempatan mencadangkan agar satu pelan induk pelancongan geowarisan Bukit Ibam dirangka dengan kerjasama kerajaan negeri, Majlis Daerah Rompin (MDR) dan komuniti setempat bagi mengangkat lokasi itu ke peringkat arus perdana.

Tinjauan mendapati, akses ke kawasan tasik sangat terhad dengan hanya boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda atau motosikal off-road (luar jalan raya). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×