PETALING JAYA: Syarikat pengendali lori yang terbabit dalam nahas mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan, Perak, hanya memperoleh markah keseluruhan 15 peratus dalam keputusan Laporan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA).
Markah itu amat rendah berbanding markah minimum lulus iaitu 70 peratus yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Laporan Awal Penyiasatan Keselamatan Pengangkutan Jalan membabitkan nahas tragis yang berlaku pada 13 Mei lalu itu mendapati, syarikat tersebut turut gagal dalam kesemua tujuh komponen mandatori.
Menurut laporan itu, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menerima makluman awal mengenai kemalangan ini pada 13 Mei 2025 dan kemudian mengeluarkan tiga dokumen rasmi iaitu Surat Tunjuk Sebab (STS); Surat Mohon Data GPS dan Surat Permohonan Melaksanakan JISA kepada syarikat pengendali.
Katanya, hasil siasatan dalaman APAD menunjukkan muatan sebenar lori adalah batu kerikil, berbeza daripada muatan berdaftar iaitu arang batu.
“STS dikeluarkan bertarikh 15 Mei atas kesalahan melanggar syarat permit. Pihak syarikat juga mengesahkan bahawa sistem GPS tidak aktif, dan STS berasingan telah dikeluarkan pada 23 Mei.
“Pada 19 Mei, keputusan JISA oleh JPJ Selangor menunjukkan syarikat tidak patuh dengan markah keseluruhan hanya 15 peratus (markah minimum lulus ialah 70 peratus). Kesemua tujuh komponen mandatori juga gagal.
“Berdasarkan keputusan ini, STS Gagal Tata Amalan Industri Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010 (ICOP) dikeluarkan pada 20 Mei,” katanya.
Laporan setebal 146 muka surat itu boleh diakses oleh orang di laman sesawang Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) sejak pagi tadi.
Menurut laporan itu, Mesyuarat Jawatankuasa Penggantungan dan Pembatalan Lesen (JPPL) Bilangan Tujuh Tahun 2025 pada 29 Mei lalu telah memutuskan bahawa Lesen Pengendali syarikat Tashveen Trading dibatalkan serta-merta.
“Notis pembatalan dihantar pada hari yang sama,” katanya. – UTUSAN











