92 kakitangan Unimap kumpul duit tumbangkan 11 ekor lembu, 23 kambing

92 kakitangan Unimap kumpul duit tumbangkan 11 ekor lembu, 23 kambing

ZALIMAN Sauli (dua dari kiri) melapah daging pada majlis ibadah korban dan akidah 2025 Unimap di dataran parkir bas Kubang Gajah, Arau, Perlis, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Seramai 92 kakitangan Universiti Malaysia Perlis (Unimap) melakukan caruman selama 10 bulan bagi melaksanakan ibadah korban sempena Aidiladha tahun ini yang membabitkan 11 ekor lembu dan 23 kambing.

Program korban secara caruman dilaksanakan Unimap itu mendapat sambutan baik dalam kalangan kakitangan dengan merekodkan peningkatan penyertaan tahun ini.

Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Islam (PIMPIN) Unimap, Muhammad Adib Hassan berkata, menerusi inisiatif caruman itu, setiap kakitangan masing-masing membayar sebanyak RM90 untuk melaksanakan ibadah korban lembu dan RM110 bagi kambing.

Katanya, majlis ibadah korban dan akidah itu diadakan di dataran parkir bas, Kubang Gajah di sini baru-baru ini.

Ujar beliau, ia turut mencipta rekod tersendiri apabila berjaya menyempurnakan penyembelihan 11 ekor lembu dan 23 kambing itu hanya dalam tempoh tiga jam 40 minit.

“Program tersebut turut mendapat penglibatan lebih 250 sukarelawan dan petugas yang bersama-sama bergotong-royong bermula daripada proses penyembelihan, melapah hingga ke agihan.

“Selain itu, program ini turut melibatkan 15 orang tenaga lapah dan tiga orang penyembelih yang bertungkus-lumus seawal pukul 8.15 pagi dan kemudian diteruskan dengan aktiviti pengagihan sehingga pukul 1 petang,” katanya.

Hadir sama menyempurnakan program tersebut ialah Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr. Zaliman Sauli dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Unimap, Prof. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah.

Muhammad Adib berkata, pihak RHB Bank turut bersama-sama mengambil bahagian dengan menyumbangkan seekor lembu bagi tujuan ibadah korban.

Katanya, program tahunan itu bukan sahaja memperkukuh semangat ukhwah dan gotong-royong dalam kalangan warga Unimap, malah menjadi platform kebajikan bagi menyantuni masyarakat setempat selari dengan semangat Aidiladha dan prinsip pengorbanan dalam Islam.

“Tahun ini, agihan daging korban turut disalurkan kepada empat kategori penerima iaitu komuniti penduduk Kampung Kubang Gajah, kakitangan Unimap, pelajar Maahad Tahfiz dan golongan asnaf setempat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×