SERDANG: Malaysia berpotensi meningkatkan eksport ke Amerika Syarikat (AS) susulan keputusan negara itu mengenakan tarif lebih tinggi terhadap beberapa negara ASEAN lain seperti Vietnam, Indonesia dan Thailand.
Profesor Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Emeritus Datuk Dr. Mad Nasir Shamsudin berkata, keadaan itu memberi kelebihan strategik kepada Malaysia untuk memperkukuh kedudukan eksport dalam sektor tertentu seperti getah serta barangan elektrik dan elektronik (E&E).
“Ini adalah peluang yang boleh dimanfaatkan oleh Malaysia untuk mengisi kekosongan pasaran akibat sekatan tarif terhadap negara jiran kita. Tetapi kita tidak boleh leka kerana kadar tarif rendah ini bukan kerana kita ada keistimewaan diplomatik, sebaliknya disebabkan jumlah eksport kita ke AS masih kecil.
“Negara seperti Thailand dan Indonesia mempunyai saiz ekonomi dan populasi lebih besar, maka produk mereka lebih banyak menembusi pasaran AS. Sebab itulah tarif tinggi dikenakan bagi mengawal lambakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan khas bertajuk ‘Kesan Tarif AS Terhadap Sektor Pertanian Negara’ sempena Persidangan Keterjaminan Makanan Kebangsaan 2025 (PKMK2025), di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mad Nasir berkata, Malaysia perlu memperluas hubungan perdagangan dengan negara lain bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pasaran AS.
Jelasnya, negara perlu mengukuhkan hubungan dengan rakan dagang sedia ada dan meneroka pasaran baharu penting untuk menjamin daya tahan sektor eksport negara.
“Daya saing produk negara seperti getah dan minyak sawit perlu dipertingkatkan, terutama ketika berdepan cabaran pasaran global.
“Masih wujud jurang besar antara hasil ladang milik estet dan pekebun kecil. Masalah ini berpunca daripada kekangan kewangan, pengeluaran tidak optimum dan amalan pengurusan ladang yang lemah.
“Kita perlukan pengurusan agronomi yang lebih cekap serta satu inventori untuk menilai tahap pemindahan dan penggunaan teknologi dalam kalangan pekebun kecil,” ujarnya.
Beliau turut mencadangkan agar Malaysia memanfaatkan sepenuhnya rangka kerja sedia ada seperti Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA), Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China bagi memudahkan akses pasaran alternatif.
Katanya, sebagai contoh, China merupakan pembeli terbesar kacang soya dunia dan kini sedang mengenakan tarif balas terhadap produk dari AS, termasuk daging khinzir bernilai AS$3 bilion.
“Ini mewujudkan persekitaran yang menggalakkan untuk Malaysia meningkatkan eksport minyak sawit dan makanan ke pasaran China,” katanya.
Beliau berkata, amat penting untuk membina rantaian bekalan tempatan yang kukuh bagi mengurangkan kos pengeluaran dan mengurangkan kebergantungan kepada input import.
Katanya, Malaysia tidak mempunyai kelebihan pasaran domestik yang besar seperti negara berpopulasi tinggi, maka perlu bergantung kepada perdagangan antarabangsa.
“Data perdagangan luar juga perlu dipantau rapi kerana ia pemacu utama ekonomi negara.
“Dalam aspek dasar pula, Bank Negara boleh mempertimbangkan pelarasan kadar faedah manakala kerajaan digesa memperkenalkan insentif seperti potongan cukai atau subsidi kepada sektor yang terkesan akibat tarif.
“Kerajaan juga perlu mengaktifkan saluran diplomatik untuk merundingkan pengurangan atau pengecualian tarif bersama AS, dengan menekankan kepentingan bersama serta potensi pertumbuhan ekonomi secara bersama,” katanya. – UTUSAN









