Tarif AS: Malaysia sambut baik, teruskan rundingan

Tarif AS: Malaysia sambut baik, teruskan rundingan

ANWAR Ibrahim ketika berucap pada Program Semarak Kenegaraan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), Port Dickson hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Malaysia menyambut baik kadar baharu tarif yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump terhadap negara ini kerana ia lebih rendah berbanding kebanyakan negara lain.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sebelum ini telah menghantar pasukan perunding yang diketuai oleh Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz sebelum usaha itu diteruskan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Menurutnya, bagaimanapun kerajaan akan terus membangkitkan beberapa perkara yang masih belum memuaskan dalam rundingan dengan pihak AS.

“Tarif yang diumumkan oleh Presiden Donald Trump, setakat ini kita terima walaupun kita sudah utuskan perundingan daripada Tengku Zafrul dan sekarang ini Datuk Seri Johari Ghani meneruskan.

“Kalau ada beberapa aspek yang tidak memuaskan, kita akan bangkitkan lagi. Tapi sekurang-kurangnya sekarang ini, kita rasa lega kerana tarifnya relatif rendah berbanding dengan banyak negara lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Semarak Kenegaraan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) di sini, hari ini.

Terdahulu, AS mengumumkan tarif baharu terhadap 60 rakan dagangnya bagi menggantikan tarif global yang diperkenalkan awal tahun ini susulan kebimbangan mengenai amalan buruh paksa.

Malaysia adalah antara 17 negara yang dikenakan tarif sebanyak 10 peratus bersama Argentina, Bangladesh, Kemboja, Kanada, Ecuador, El Salvador, Guatemala, Honduras, India, Indonesia, Jordan, Mexico, Pakistan, Sri Lanka, United Kingdom serta Trinidad dan Tobago.

Tarif baharu itu berkuat kuasa hari ini dengan kadar antara 10 hingga 12.5 peratus, melibatkan beberapa ekonomi utama dunia termasuk China, India dan Kesatuan Eropah (EU).

Sementara itu, mengulas gesaan lapan ahli perundangan AS supaya hubungan dengan Malaysia dikaji semula susulan pendirian negara terhadap Israel, Anwar menegaskan kerajaan tidak akan berganjak daripada prinsip yang dipegang.

Beliau berkata, pendirian Malaysia bukan bersifat anti-Yahudi, sebaliknya menentang kekejaman, kezaliman dan penjajahan yang dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin.

“Keputusan kita tidak akan berganjak. Bukan masalah kita menghina Yahudi. Kita menentang kekejaman, kezaliman dan penjajahan Israel.

“Mereka bangkitkan seolah-olah kita ini antikaum. Kita bukan antikaum, kita menentang negara yang zalim, yang hari-hari melakukan kezaliman,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN