Pemberhentian pekerja Petronas perlu dibuat secara berperingkat

Pemberhentian pekerja Petronas perlu dibuat secara berperingkat – Muhyiddin

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemberhentian 5,000 pekerja syarikat Petroliam Nasional Berhad (Petronas) perlu dibuat secara berperingkat selepas mereka dilatih dan kehidupan terjamin.

Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, individu yang diberhentikan perlu menerima latihan keusahawanan dan bantuan modal untuk mereka menceburi bidang perniagaan yang sesuai dengan kelayakan dan kemahiran mereka.

“Dana-dana yang biasa digunakan untuk membantu usahawan-usahawan bumiputera seharusnya digunakan untuk menolong mereka berdiri di atas kaki sendiri. Kerajaan harus bersama bertanggungjawab menangani isu ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pemberhentian secara beramai-ramai tanpa diberikan peluang latihan tertentu untuk mendapatkan pendapatan bagi meneruskan kehidupan mereka adalah tindakan yang tidak berperikemanusiaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Minggu lalu, Petronas mengumumkan akan mengurangkan 10 peratus pekerja atau melibatkan 5,000 orang dalam proses penstrukturan se­mu­la syarikat minyak negara itu.

Dalam keadaan cabaran global dihadapi oleh Petronas yang berpunca daripada kejatuhan harga minyak dunia dan trend peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui, Muhyiddin berkata, Petronas memerlukan pelan jangka panjang untuk memastikan syarikat milik negara ini terus lestari dan berdaya saing.

Justeru, katanya, adalah wajar bagi kerajaan untuk membentangkan pelan kelestarian Petronas dan hala tuju industri minyak dan gas negara dalam kadar segera.

“Kerajaan juga diingatkan supaya lebih berhemah dalam menggunakan dana daripada Petronas dalam keadaan hutang negara semakin meningkat dan ekonomi masih lemah sehingga menjejaskan aliran tunai Petronas sendiri,” katanya.

Selain itu, Muhyiddin berkata, pertikaian antara Petronas dan Petros berhubung hak pengedaran gas di Sarawak yang belum selesai bukan sahaja menjejaskan pendapatan Petronas, malah turut memberi kesan kepada keseluruhan industri minyak dan gas di negara ini.

Berdasarkan laporan akhbar The Edge, 2 Jun lalu, katanya, beberapa syarikat minyak dan gas di negara ini telah mencatatkan penyusutan pendapatan atau kerugian pada suku pertama 2025.

Antara sebab utama, jelasnya, adalah pengurangan penggunaan vesel dan kelewatan Petronas memulakan kerja-kerja eksplorasi akibat pertikaiannya dengan Petros.

“Sekiranya keadaan ini berterusan, bukan sahaja Petronas dan pekerjanya yang berhadapan keadaan yang tidak menentu, malah keseluruhan syarikat dan pekerja yang terlibat dalam industri minyak dan gas negara akan terjejas.

“Pada masa ini terdapat 70,000 pekerja yang terlibat dalam industri perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas di Malaysia.

“Sebagai syarikat milik negara yang menyumbang sejumlah dividen yang besar kepada kerajaan dan memainkan peranan penting dalam pembangunan negara, kepentingan Petronas dan pekerjanya mesti sentiasa dilindungi oleh kerajaan,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×