SEREMBAN: Di sebalik wajah tenang, tersembunyi kisah ketabahan seorang wanita, Zuriana Daud, 51, yang sudah 17 tahun membesarkan anak istimewa yang terlantar sejak bayi.
Zuriana berkata, anak sulungnya, Muhammad Aiman kini berusia 17 tahun, mengalami kecacatan fizikal yang memerlukan penjagaan sepenuh masa.
Menurutnya, Aiman disahkan mengalami kerosakan otak sebelah kiri sejak berusia lapan bulan dan sering menunjukkan gejala sawan dan tidak sedarkan diri.
“Ketika doktor sahkan otaknya kecil sebelah saya dan suami pada mulanya tidak mampu terima kenyataan itu. Tetapi lama-kelamaan, kami belajar untuk reda dan anggap ini ujian Allah,” ujar Zuriana ketika ditemui di Kampung Tebing Tinggi, Labu di sini.
Kata Zuriana, walaupun sudah mencecah usia remaja, keadaan Aiman masih seperti bayi yang memerlukan perhatian 24 jam.
“Kos bulanan untuk susu dan lampinnya sahaja sudah lebih RM1,000. Itu belum masuk ubat-ubatan dan kos perjalanan mendapatkan rawatan susulan,” katanya.
Orang ramai yang ingin hulurkan sumbangan boleh menyalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 06400-41-00006088-2 atas nama Zuriana Daud.-UTUSAN.










