Jalan Gerik-Jeli perlu diklasifikasi sebagai laluan berisiko tinggi

Jalan Gerik-Jeli perlu diklasifikasi sebagai laluan berisiko tinggi

KEADAAN jalan raya yang menyaksikan nahas jalan raya di Ki­lometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JR­TB), Jeli-Gerik, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Jalan Gerik–Jeli yang merupakan lokasi nahas tragis mengorbankan 15 nyawa kelmarin wajar diklasifikasikan sebagai laluan berisiko tinggi kerana dikenali sebagai laluan berbukit, berselekoh tajam dan berkabus terutama waktu malam.

Penganalisis pengangkutan, Mohd. Ikhmal Mohd. Iskandar berkata, sebarang penggunaan pengangkutan khususnya yang membawa pelajar di laluan itu perlu disemak melalui sistem laluan risiko yang dikendalikan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Katanya, perjalanan kenderaan membawa pelajar di laluan itu juga perlu mendapat kelulusan khas jika melibatkan waktu malam atau perjalanan berkumpulan besar dan dilengkapi dengan papan tanda amaran, jalur gegaran dan pemantauan sistem kedudukan sejagat (GPS)

“Kemalangan bas yang meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris di Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Gerik kelmarin bukan sekadar tragedi kemanusiaan tetapi satu seruan jelas agar sistem pengangkutan pelajar IPT dinilai semula secara menyeluruh.

“Menurut laporan awal, bas dipercayai telah melanggar bahagian belakang sebuah MPV di selekoh tajam kira-kira 1.10 pagi sebelum terbabas dan terbalik. MPV pula dipercayai telah tercampak ke dalam parit.

“Faktor waktu malam, selekoh berbahaya dan keletihan pemandu dijangka antara penyumbang utama insiden. 

“Demi masa depan yang lebih selamat, sudah tiba masanya satu dokumen dasar digubal Garis Panduan Kebangsaan bagi Pengangkutan Pelajar IPT dalam memastikan setiap perjalanan pelajar diurus secara selamat, tersusun dan bertanggungjawab,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bekas Penyelidik Institut Pengangkutan Malaysia (MITRANS) Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berkata, penggubalan dasar itu penting kerana ribuan pelajar pulang ke kampus menaiki bas sewaan khas, setiap semester.

Katanya, tanpa garis panduan nasional, kebanyakan perjalanan itu diurus oleh persatuan pelajar berdasarkan kemampuan sendiri tanpa rujukan formal terhadap risiko laluan, jadual perjalanan atau status teknikal bas.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×