Sanggupkah kita semat semangat nasionalisme setiap hari?

Sanggupkah kita semat semangat nasionalisme setiap hari?

RAKYAT Malaysia harus menyemai semangat nasionalisme setiap hari tanpa gagal, dengan penuh iltizam dan semangat kewarganegaraan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Nasionalisme merupakan gerakan menjurus pembentukan jati diri dan semangat patriotik dalam kalangan rakyat, selaras dengan peranan mereka sebagai warganegara sesebuah negara yang berdaulat.

Ia juga ditakrif sebagai semangat kesetiaan dan ketaatan. Dengan tertera nama pada sijil kelahiran dan kad pengenalan, ia menandakan anda mempunyai hak dan tanggungjawab untuk mempertahankan kedaulatan serta kemerdekaan negara yang dikecapi sejak 68 tahun lalu.

Kesedaran nasionalisme bermula sejak era gemilang Kesultanan Melayu Melaka. Perjuangan menentang pengaruh serta penjajahan kuasa asing seperti Siam, British, Jepun dan Belanda menjadi asas penting kebangkitan semangat nasionalisme di Tanah Melayu.

NASIONALIS TEMPATAN
Penghulu Dol Said, Datuk Maharaja Lela Pandak Lam, Datuk Bahaman, Rentap, Tok Janggut, Mat Salleh dan Abdul Rahman Limbong merupakan antara nasionalis tempatan yang berjuang mempertahankan wilayah masing-masing. Walaupun gerakan bersifat setempat namun, matlamat mereka jelas iaitu mempertahankan kedaulatan wilayah masing-masing. Walaupun mendapat tentangan dan tekanan hebat daripada penjajah, namun semangat juang tidak pernah luntur dimakan keringat.

Tiada kurang hebatnya nama seperti Sheikh Muhammad Rakawi Yusuf, Abbas Mohd. Taha dan Syed Sheikh al-Hadi, yang berjuang habis-habisan menentang penjajah melalui Gerakan Islah. Ia adalah gerakan menentang imperialisme Barat di negara Islam.

Hasil kesusasteraan daripada para tokoh nasionalis seperti Abdul Rahim Kajai melalui cerpennya Cerita Awang Putat, Ishak Muhammad (Pak Sako) dengan karya Putera Gunung Tahan dan Anak Mat Lela Gila serta pelbagai bahan penulisan kreatif menjadi akar kukuh wujudnya semangat nasionalisme di bumi bertuah ini.

Surat khabar juga merangsang semangat nasionalisme di negara ini. Akhbar Utusan Melayu, Lembaga Melayu, Warta Malaya, Fajar Sarawak, The Malay Mail, The Malaya Tribune, Nanyang Siang Pao, Tamil Nesan, Tamil Murasu, The Indian dan Indian Pioneer membakar semangat nasionalisme di setiap jiwa rakyat Tanah Melayu pada masa itu.

Segala usaha digerakkan pejuang nasionalisme tanpa mengira lokasi, fahaman politik mahupun pegangan agama, menjadi ‘benih’ menyemai semangat perjuangan demi mempertahankan negara daripada tangan-tangan penjajah yang merampas kekayaan, keamanan dan maruah tanah air.

Kita mempunyai rentetan catatan sejarah yang membuktikan kebangkitan semangat nasionalisme sejak sebelum negara merasai bahtera kemerdekaan. Semangat para nasionalis inilah yang akhirnya membuahkan hasil, iaitu sebuah kemerdekaan negara berdaulat dengan acuan sendiri.

 

ABAD KE-21
Negara memerlukan pemikir nasionalis walaupun berada di era yang serba-serbi canggih. Semangat ini perlu disuntik dan diterapkan dalam jiwa anak muda setiap hari. Ia perlu dihidupkan secara ilmiah dan rasional.

Semangat nasionalisme bukan sekadar hebat didendangkann sepanjang Ogos dan September, iaitu bulan kehangatan kemerdekaan, sebaliknya, perlu disemat dalam sanubari serta disambut setiap hari. Ini jika dilakukan mampu mengekalkan kedaulatan negara selamanya.

INSTITUT PENDIDIKAN
Di institut-institut pendidikan, bermula dari prasekolah sehingga menara gading harus mempersembahkan perancangan program kemerdekaan yang dapat menyemai semangat nasionalisme sepanjang tahun.

Ini bermakna harus diadakan aktiviti yang dapat membakar semangat cintakan negara. Aktiviti seperti pertandingan pidato berbentuk kewarganegaraan, deklamasi sajak merdeka, penulisan cerita pejuang kemerdekaan, lukisan poster bangunan bersejarah, pembinaan laman digital monumen negara, pembinaan ruang atau galeri sejarah di ruang-ruang lompong di kawasan sekitar sekolah dan banyak lagi harus dilakukan. Agenda ini pasti akan mendekatkan hati si kecil hingga remaja kekal dengan denyutan merdeka dan semangat nasionalisme.

Di pejabat-pejabat kerajaan pula juga perlu menyemarakkan semangat nasionalisme. Dendangan lagu-lagu kemerdekaan dan video peristiwa ‘Hari ini Dalam Sejarah’ seharusnya ditontonkan kepada masyarakat umum. Menonton video yang yang terselit pengajaran dan kejayaan negara ketika menunggu giliran menyelesaikan urusan dapat menyuntik semangat nasionalisme dalam kalangan pelanggan.

Papan-papan iklan di seluruh negara harus menjadi medan ‘antibiotik’ nasionalisme ke dalam saluran saraf anak muda negara.

Papan iklan yang kini ditakluk kecerdasan pintar harus dijadikan titik penyebar budaya dan semangat nasionalisme kebangsaan.

PERANAN ULAMA
Masjid, surau, kuil, tokong, gurdwara, gereja dan segala rumah ibadat harus dijadikan medan menyebarkan semangat nasionalisme. Semangat ini harus disuntik dan disemadikan dalam sanubari anak muda.

Penyuburan semangat nasionalisme pastinya akan menjadi wadah ke arah pembentukan negara bangsa yang setia dan taat. Tiada siapa yang menyangkal ilmu agama para ulama, jadi peranan mereka amat ditagih dalam mengekalkan semangat nasionalisme.

Penulisan kreatif menjadi salah satu sumber yang dapat menyuntik semangat nasionalisme. Karya sastera seperti pantun, sajak, syair, gurindam, seloka dan sebagainya harus dijadikan medan pena yang tajam dalam mengukir semangat nasionalisme. Penulisan kreatif terbukti sebagai sumber propaganda sejak sebelum merdeka. Jadi, para sasterawan negara, harus menjadi tok guru dalam membimbing anak muda dalam penulisan kreatif yang mampu meniup semangat nasionalisme sehingga akar umbi.

PEMENTASAN TEATER
Drama dan pementasan muzikal juga mampu menjadi medan untuk menyemarakkan semangat nasionalisme. Peranan penggiat seni teater dan drama amat ditagih dalam menghidupkan kembali semangat nasionalisme terutamanya dalam kalangan anak muda.

Usaha berterusan dan tanpa noktah ini mampu menyemarakkan semangat setia dalam kalangan anak muda dan masyarakat secara keseluruhan.

Bila mana, lagu Negaraku berkumandang dan mereka yang terdengar lagu itu terus terhenti serta menyanyikannya dengan penuh semangat patriotik, saat itulah menandakan kesetiaan sebenar seorang rakyat Malaysia terhadap tanah tumpahnya.

Anda adalah seorang anak watan yang setia apabila mampu mengalirkan air mata ketika lagu kebanggaan rakyat Malaysia itu dinyanyikan.

Setiap entiti di negara ini harus berusaha dalam menyemai semangat nasionalisme setiap hari tanpa gagal, dengan penuh iltizam dan semangat kewarganegaraan.

Ayuh! rakyat Malaysia kita bergabung dan bersatu tanpa mengira latar budaya, bangsa dan agama demi kedaulatan negara.-UTUSAN

 

PENULIS ialah Pensyarah Akademik Kolej Matrikulasi Pahang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×