KESTABILAN sesebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia tidak bergantung kepada kekuasaan mutlak sesuatu kumpulan tetapi sejauh mana kelompok teras yang memimpin negara bersikap adil, kuat, bersatu dan rasional.
Dalam konteks Malaysia, kelompok teras itu ialah orang Melayu, sebagaimana digariskan secara jelas dalam Perlembagaan Persekutuan.
Prinsip menjadi asas kepada pembentukan negara sejak merdeka. Namun kini, kita melihat semakin banyak suara yang cuba menafsirkan semula kontrak sosial atas nama kesamarataan mutlak, hingga mengabaikan realiti sejarah dan susun atur kuasa yang disepakati secara bersama.
Perlu ditegaskan, apabila menyatakan Melayu mesti kekal memegang teras pemerintahan, bukan bermaksud menafikan hak kaum lain. Malah sejak awal kemerdekaan lagi, pemerintahan yang diterajui orang Melayu terbukti berlaku adil dan memberi ruang yang luas kepada bukan Melayu untuk berkembang dalam bidang ekonomi, pendidikan dan sosial.
Malah, tiada satu pun dasar kerajaan yang benar-benar menindas kaum lain. Sebaliknya, banyak inisiatif bersifat inklusif digerakkan demi menjaga keharmonian negara.
Namun, dominasi Melayu dalam pentadbiran negara tidak boleh hanya dilihat dari segi simbolik. Simbol tanpa kuasa sebenar ibarat panji tanpa kekuatan dan angka tanpa arah tidak akan menjamin kepimpinan yang berkesan.
Dominasi yang dimaksudkan haruslah ditunjangi kesatuan fikrah, iaitu kesepakatan dari segi hala tuju, nilai dan prinsip yang dipegang pemimpin serta masyarakat Melayu itu sendiri.
Tanpa fikrah yang sama, setiap kelompok Melayu akan membawa agenda yang berbeza malah saling bercanggah, sekali gus menjadikan bangsa ini lemah walaupun secara lahiriah masih berada di tampuk pemerintahan.
Keretakan dalam kalangan orang Melayu hari ini, yang lahir daripada politik sempit, agenda individu tertentu, serta campur tangan ideologi luar bukan sahaja melemahkan kuasa politik bangsa sendiri, malah membuka ruang kepada pihak lain untuk mengambil alih peranan teras dalam pemerintahan negara.
Ini bukan soal perkauman tetapi soal menjaga keseimbangan yang terbukti membawa keamanan sejak merdeka. Tanpa kekuatan Melayu yang rasional dan bersatu, kestabilan negara pasti akan terancam.
Kita perlu kembali rasional. Penyatuan Melayu tidak semestinya bersifat partisan. Ia boleh diasaskan atas kefahaman Perlembagaan, sejarah perjuangan bangsa dan tanggungjawab moral terhadap generasi akan datang.
Jika benar-benar mahu Malaysia terus maju sebagai negara berbilang kaum yang aman, maka teras kepimpinan Melayu yang adil dan matang mesti dipelihara, bukan dipersoalkan, apatah lagi digugat.-UTUSAN
AZMAN MOHD. HASHIM
Ahli Majlis Proklamasi Orang Melayu










