BERMULA dengan hanya menjual buah ceri secara kecil-kecilan mengikut musim, perniagaan Syabab Fresh Store kini berjaya melonjakkan jualan buah-buahan segar mereka sekitar 60 peratus hingga 80 peratus selepas memanfaatkan platform TikTok Shop secara aktif.
Pengasas bersama Syabab Fresh Store, Muhammad Anas berkata, pendekatan jual beli melalui media sosial telah mengubah sepenuhnya landskap perniagaan mereka yang pada awalnya hanya bergantung kepada pelanggan tetap kami secara fizikal.
“Sejak kami aktif di TikTok Shop, hampir 70 peratus jualan dalam talian datang daripada platform itu sahaja.
“Ia bukan sekadar platform menjual beli, malah menjadi ruang kami bercerita dan membina kepercayaan bersama pelanggan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, peralihan kepada konsep perdagangan sosial menjadi antara faktor utama peningkatan jualan Syabab Fresh.
“Pembelian kini berlaku terus melalui media sosial, bukan lagi menerusi platform tradisional yang bersifat satu hala.
“TikTok Shop khususnya telah mengubah cara pelanggan berinteraksi dengan jenama dan kami di Syabab Fresh segera menyesuaikan diri dengan perubahan ini.
“Antara pendekatan yang kami gunakan termasuk menghasilkan kandungan video berunsur pendidikan dari ladang-ladang luar negara bagi memperkenalkan buah-buahan import yang jarang diketahui umum, dengan gaya penyampaian yang mesra dan jujur,” jelasnya.
Anas berkata, idea penubuhan Syabab Fresh tercetus hasil minat beliau dan adiknya, Muhammad Badiuzzaman terhadap dunia digital dengan matlamat membantu keluarga di bandar mendapatkan buah segar tanpa perlu ke pasar.
“Kami melihat potensi platform dalam talian untuk memudahkan urusan harian. Jadi kami fikir, mengapa tidak jual buah segar secara digital dan terus hantar dari ladang ke depan pintu pelanggan?
“Sejak aktif di platform ini, capaian penonton kami meningkat mendadak dan lebih ramai pelanggan mula mengenali siapa kami serta nilai yang kami bawa.
“Sistem cadangan TikTok Shop turut membantu produk kami sampai kepada pelanggan yang benar-benar berminat, secara semula jadi,” ujarnya.
Mengulas cabaran, beliau mengakui antara pengalaman paling mencabar adalah apabila menerima penghantaran buah dari luar negara dalam keadaan rosak, hingga menimbulkan aduan daripada pelanggan.
“Waktu itu kami memang rasa kecewa, bukan sekadar kerana kerugian, tetapi kerana kepercayaan pelanggan turut terjejas.
“Tapi sejak awal kami sudah tetapkan prinsip: jika buah sampai dalam keadaan rosak atau tidak elok, kami akan kembalikan bayaran tanpa banyak soal. Itu memang terma yang kami pegang sejak mula.
“Bagaimanapun, insiden itu menjadi titik tolak kepada penambahbaikan kawalan kualiti serta pemilihan pembekal yang lebih teliti,” katanya.
Beliau turut menasihatkan golongan muda agar tidak menunggu kesempurnaan untuk memulakan langkah dalam dunia perniagaan.
“Bermula kecil pun tidak mengapa, asalkan niat jelas dan usaha konsisten. Jangan malu untuk belajar dan cepat menyesuaikan diri dengan perubahan digital.
“Kadang-kadang, satu video yang jujur pun boleh menjadi titik permulaan kepada rezeki yang besar,” katanya.-UTUSAN










