PUTRAJAYA: Pemimpin dunia tidak lagi mahu berdiam diri melihat Gaza terus dibedil rejim Zionis Israel, sebaliknya mengambil pendirian untuk membantu Palestin mencapai kemerdekaan.
Perkara itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah mereka menghubunginya dan menyatakan pendirian tersebut.
Anwar berkata, antara pemimpin dunia yang melahirkan hasrat itu ialah Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan; Presiden Iran, Masoud Pezeshkia dan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif.
“Kita melahirkan sikap yang agak jelas mengenai Gaza iaitu supaya Israel menghentikan keganasan dan menolak segala usaha untuk menghalang bantuan kemanusiaan.
“Kita mengutuk sekeras-kerasnya sikap ganas dan keras Israel, kita juga sudah sepakat untuk terus melakukan rundingan bagi mencari jalan lain untuk menyelesaikan masalah ini dengan seberapa segera yang mungkin,” katanya kepada pemberita, semalam.
Terdahulu, Anwar bersama isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail hadir ke Masjid Putra, di sini bagi menunaikan solat sunat Aidiladha bersama lebih 15,000 jemaah.
Perkembangan terbaharu mengenai usaha menyelamatkan Palestin menyaksikan, Amerika Syarikat (AS) yang juga sekutu terbesar Israel dan pembekal senjata kepada negara haram itu dilaporkan menggunakan kuasa veto mereka terhadap draf resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).
Mengulas tindakan AS itu, Anwar berkata, Malaysia sudah menyatakan pandangan mengenai perkara tersebut.
“Ini bukan upaya satu negara perlu seperti yang kita lakukan (iaitu) ada kesepakatan dari ASEAN (tetapi masih) memerlukan beberapa negara lain.
“Ini supaya kita dapat berikan penjelasan dan tekanan yang keras kepada dunia supaya menghentikan (keganasan terhadap Gaza, bukan) sekadar kenyataan mereka mengecam (tetapi) kemudian masih menghantar, menjual senjata kepada Israel.
“Itu hanya satu tindakan yang bertentangan dengan prinsip undang-undang antarabangsa dan kemanusiaan. Kita sekadar mengutuk keras dan mencari jalan untuk bantu, carilah dari sisi diplomatik bagaimanapun boleh bantu perjuangan rakyat Palestin” jelasnya.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia sedia membantu rundingan sempadan antara Thailand dan Kemboja pada 14 Jun ini bagi membantu kedua-dua negara menoktahkan konflik.
Anwar berkata, beliau sudah maklumkan hasratnya itu kepada Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet menerusi panggilan telefon semalam.
“Saya telah bercakap dengan kedua-dua Perdana Menteri (Kemboja dan Thailand), mereka telah mengambil beberapa langkah dan kita sokong iaitu rundingan pada 14 Jun ini, mengenai sempadan (antara dua negara tersebut).
“Saya sedia mengikuti dan kerjasama apa yang perlu tetapi setakat ini, kedua-dua kerajaan mengambil sikap meneruskan rundingan secara baik,” katanya. – UTUSAN










