ALOR SETAR: Dua pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC, Ariff Farhan Md. Isa dan Amirul Hisyam Awang Kechik mengucapkan selamat tinggal kepada Sang Kenari yang akan menyertai Liga A1 pada musim depan.
Tonggak pertahanan kiri dan jentera tengah pasukan Hijau Kuning itu dikaitkan akan menyarung jersi Penang FC yang menamatkan saingan Liga Super pada musim lalu di tangga ke-10.
Dalam catatan di media sosialnya, Ariff Farhan, 29, berkata, dia sudah memberikan 100 peratus komitmen terhadap KDA sepanjang menyarung jersi pasukan keramat itu sejak 2016.
“Meskipun terpaksa berpisah selama dua tahun. Alhamdulillah saya kembali semula ke negeri jelapang padi pada 2021, banyak kenangan suka duka bersama pasukan tetapi kali ini terpaksa berpisah lagi.
“Namun, inilah lumrah perjalanan bagi seorang pemain bola sepak. Segala kenangan pahit dan manis ini tidak akan saya lupakan. Jika diizinkan Allah semoga suatu hari nanti kita akan bertemu kembali,” katanya.
Ariff Farhan berkata, banyak kejayaan diraihnya bersama KDA antaranya dapat merasai nikmat bergelar Juara Piala Malaysia, Piala FA, Piala Sumbangsih selain layak beraksi di pentas AFC.
Katanya, dia turut mendoakan agar KDA yang menamatkan saingan Liga Super di kedudukan ke-11 musim lalu dapat kembali bangkit seperti suatu masa dahulu.
“Terima kasih buat semua penyokong setia KDA untuk segalanya, sentiasa ada bersama pasukan tak kira semasa pasukan di atas mahupun di bawah. Juga kepada pihak pengurusan, jurulatih, kakitangan dan sahabat seperjuangan terima kasih untuk segala kenangan yang kita lalui bersama.
“Semestinya ada hikmah pada setiap yang berlaku. Andai ada kekurangan daripada pihak saya, saya ingin memohon maaf atas kekurangan dan kekhilafan tersebut,” katanya.

Sementara itu, Amirul Hisyam, 30, turut menghargai peluang yang diberikan selama 10 musim oleh KDA untuk dia mengasah dan mengembangkan karier sebagai pemain bola sepak profesional.
“Terima kasih juga buat penyokong setia Hijau Kuning yang sentiasa ada ketika jatuh bangun Kedah dan saya mendoakan agar pasukan kesayangan kita kembali bangkit selepas ini.
“Terima kasih tak terhingga juga kepada keluarga yang sentiasa di belakang saya sepanjang pembabitan dalam dunia bola sepak dan saya mohon maaf kepada semua andai ada salah dan silap sepanjang pembabitan saya bersama pasukan,” katanya.
KDA tersingkir daripada Liga Super musim depan selepas gagal memperoleh lesen kebangsaan daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) apabila tidak berjaya memenuhi kriteria kewangan seperti ditetapkan dalam Peraturan Pelesenan MFL Edisi 2024-2025 (MFL CLR). – UTUSAN










