KES amang seksual dan pengantunan seksual terhadap kanak-kanak semakin membimbangkan, terutama apabila pelaku adalah individu yang dihormati dalam masyarakat.
Kes amang seksual dan pengantunan seksual melibatkan mangsa kanak-kanak bukan sekadar berita mengejutkan tetapi juga satu tamparan terhadap nilai kemanusiaan dan maruah kita sebagai anggota masyarakat.
Apa yang lebih menyedihkan, pelaku dalam kes ini sering kali terdiri daripada individu yang diberi kepercayaan seperti guru, agamawan dan ahli keluarga. Justeru, menjadi keperluan moral untuk menyelami antara punca yang memungkinkan jenayah ini terus berleluasa dan kerap dilaporkan di media.
Sebuah cerpen saya bertajuk Gangguan di Alam Maya di majalah Melur (Mei 2025) mengetengahkan isu ini dengan niat membimbing kanak-kanak, guru dan ibu bapa tentang apa yang sedang berlaku sekarang.
Dari segi undang-undang, memanglah ada pelbagai akta digubal khusus untuk melindungi kanak-kanak iaitu individu berumur di bawah 18 tahun.
Misalnya, pada 2023, langkah diambil untuk meminda tiga akta supaya perlindungan lebih menyeluruh dapat diberi kepada kanak-kanak yang menjadi mangsa jenayah seksual.
Pindaan itu melibatkan Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792), Akta Keterangan Saksi Kanak-kanak 2007 (Akta 676) dan Akta Keterangan 1950 (Akta 56).
Terdahulu, Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611) yang diguna pakai mulai Ogos 2002 menggabungkan undang-undang berkaitan pemeliharaan, perlindungan danpemulihan kanak-kanak terbabit.
Salah satu kes amang seksual terkini melibatkan pendakwah selebriti, Azman Syah Alias (PU Azman) yang didapati bersalah mengikut Akta 792 dan dijatuhi hukuman penjara.
Seorang guru, Abdul Halim Ismail pula dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban pada awal Mei lalu atas dua pertuduhan amang seksual terhadap murid lelaki berumur 11 tahun. Malah, dia ada kes sama di Mahkamah Sesyen Raub, Ipoh dan Melaka sejak 2023.
Pada Mac lalu, seorang lelaki dari Gemas, Negeri Sembilan dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun atas jenayah amang seksual fizikal ke atas anak kandung berumur 12 tahun. Malah, dia tergamak merakam dan menyimpan foto serta video aksi jijik itu di telefon bimbit.
Maka, saya amat setuju kita perlu mengubah budaya mendiamkan topik seks dan seksualiti melibatkan kanak-kanak. Sebaliknya, perlu bersedia membincangkan isu sensitif ini secara terbuka.
Sebagai permulaan, masyarakat perlu memahami apakah situasi yang menyebabkan golongan pedofilia semakin berani mencari mangsa kanak-kanak bagi tujuan seksual.
Pertama, berlaku ketidakseimbangan kuasa antara pelaku dan mangsa. Seorang guru atau ustaz, misalnya, berada pada posisi autoriti yang memberi mereka akses dan kawalan terhadap mangsa.
Kepercayaan yang diberikan ibu bapa dan masyarakat menjadikan pelaku bebas bergerak tanpa banyak soal selidik. Dalam keadaan ini, seorang kanak-kanak sukar mempertahankan diri kerana menganggap tindakan si guru adalah sesuatu yang normal.
Kedua, wujud kepercayaan membuta tuli terhadap individu yang dianggap ‘mulia’. Agamawan seperti ustaz dan guru tahfiz sering dikaitkan dengan kesucian dan akhlak tinggi.
Maka, walaupun ada tanda-tanda awal kelakuan mencurigakan, masyarakat lebih cenderung menafikan, menyembunyikan atau menganggap mangsa sebagai pembohong.
Situasi ini membuka ruang kepada si pelaku terus melakukan jenayah amang seksual dan pengantunan seksual.
Ketiga, kurangnya pendidikan seksual menyeluruh dan sesuai mengikut peringkat umur. Ramai ibu bapa dan guru masih keberatan untuk bercakap tentang sentuhan tidak selamat atau mendidik konsep sempadan peribadi kepada anak-anak.
Akibatnya, kanak-kanak tidak tahu apa yang berlaku terhadap mereka adalah salah dan boleh dilaporkan.
Atas sebab inilah juga saya menulis cerpen Gangguan di Alam Maya. Ia dijadikan topik perbincangan dalam program Temasya Bahasa dan bengkel penulisan anjuran Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).
Keempat, persekitaran tertutup dan penuh tekanan. Dalam masyarakat yang menjadikan ‘maruah keluarga’ sebagai alasan menutup mulut, ramai mangsa terpaksa memendam trauma demi menjaga nama keluarga.
Keadaan ini hanya memberi kemenangan kepada pemangsa yang tahu mereka tidak akan dipersoal, apatah lagi didakwa.
Kelima, kelemahan sistem sokongan. Walaupun ada saluran seperti Talian Kasih, banyak keluarga tidak tahu cara mengakses bantuan. Malah, ramai yang takut kerana proses perundangan yang lambat dan menyakitkan bagi mangsa.
Namun begitu, demi melindungi kanak-kanak dan remaja, pendekatan menyeluruh diperlukan dengan penglibatan keluarga, sekolah, komuniti dan pihak berkuasa.
Pada pandangan saya, jika masyarakat terus memilih untuk berdiam diri, kita sebenarnya bersalah kerana bersubahat dalam jenayah seksual ini.
BIMBINGAN
Ada beberapa cara mudah membimbing kanak-kanak supaya dapat mengelakkan diri menjadi mangsa.
Pertama, ajarlah anak-anak mengenali bahagian tubuh yang tidak boleh disentuh orang lain dan hak mereka untuk berkata ‘tidak’ jika ruang peribadi diceroboh. Pendidikan ini harus dimulakan di rumah oleh ibu bapa dan diperkuatkan di sekolah.
Kedua, wujudkan suasana di mana anak-anak merasa selamat untuk berkongsi pengalaman tanpa takut dimarahi atau dihukum. Kanak-kanak perlu cukup mempercayai ahli keluarga dan guru untuk menceritakan sebarang perlakuan jenayah seksual.
Ketiga, perkenalkan pendidikan seksual yang sesuai dengan usia, termasuk aspek emosi dan hubungan yang sihat demi membina kesedaran dan ketahanan diri.
Keempat, didik anak-anak tentang bahaya dalam talian, termasuk tidak berkongsi maklumat peribadi di media sosial dan melaporkan sebarang interaksi atau komunikasi mencurigakan.
Kelima, ibu bapa, guru dan penjaga perlu peka terhadap perubahan tingkah laku anak yang mungkin menandakan dia mengalami penderaan atau pengantunan seksual.
Walaupun ada pelbagai akta, saya berpendapat, tugas melindungi kanak-kanak daripada jenayah seksual adalah tanggungjawab bersama kita semua.
Melalui pendidikan, kesedaran dan tindakan proaktif seperti dicadangkan, marilah kita sama-sama mewujudkan persekitaran selamat untuk anak-anak membesar.-UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).










