Kapal kargo bawa 3,000 kenderaan terbakar ditinggalkan di perairan Alaska - Utusan Malaysia

Kapal kargo bawa 3,000 kenderaan terbakar ditinggalkan di perairan Alaska

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALASKA: Sebuah kapal kargo yang membawa 3,000 kenderaan termasuk 800 kenderaan elektrik (EV), terpaksa ditinggalkan oleh anak kapalnya selepas kebakaran tercetus di perairan barat daya Alaska, menurut pengendali kapal, Zodiac Maritime pada Rabu.

Kesemua 22 anak kapal dipindahkan dengan selamat selepas usaha memadamkan kebakaran gagal. Mereka dipindahkan menggunakan bot penyelamat dan diserahkan kepada kapal dagang berhampiran dengan kerjasama Pengawal Pantai Amerika Syarikat (USCG).

Kapal terbabit, Morning Midas berada kira-kira 482.8 kilometer di barat daya Adak, Alaska, menurut kenyataan USCG menerusi akaun rasmi X mereka.

Kapal yang didaftarkan di bawah bendera Liberia itu berlepas dari pelabuhan Yantai, China pada 26 Mei dan dijadualkan menuju ke Lazaro Cardenas, Mexico, menurut data dari LSEG.

Menurut Zodiac Maritime, asap mula dilihat keluar dari dek yang dipenuhi dengan kenderaan elektrik. Jenama kenderaan dalam kapal itu masih belum dapat dikenal pasti.

Kebakaran melibatkan EV sangat mencabar untuk dipadamkan kerana suhu tinggi yang terhasil serta risiko kebakaran berulang yang boleh berlarutan selama beberapa hari.

Pengawal Pantai memaklumkan bahawa pasukan udara dan kapal penyelamat telah dihantar ke lokasi dan tiga kapal bantuan sudah berada di kawasan kejadian.

Kebakaran di atas kapal, khususnya kapal kontena, kapal pengangkut kenderaan dan kapal roll-on/roll-off kini menjadi kebimbangan utama dalam sektor insurans maritim.

Menurut syarikat insurans Allianz Commercial, jumlah insiden kebakaran bagi semua jenis kapal mencatatkan paras tertinggi dalam sedekad pada 2024.

“Realitinya, risiko ini kekal besar disebabkan saiz kapal yang semakin besar serta kerumitan dalam operasi memadam kebakaran dan penyelamatan,” menurut laporan Kajian Keselamatan dan Perkapalan 2025 oleh Allianz.-CNA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×