Palestin, Hamas kutuk AS veto resolusi gencatan senjata - Utusan Malaysia

Palestin, Hamas kutuk AS veto resolusi gencatan senjata

SEORANG lelaki Palestin berlindung di sebalik tiang konkrit ketika tentera Israel melancarkan serangan di Gaza City. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Palestin dan kumpulan pejuang Hamas mengecam tindakan Amerika Syarikat (AS) memveto draf resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengenai gencatan senjata dilaksanakan segera di Semenanjung Gaza.

Kedua-duanya menuduh Washington menjadi penyumbang utama kepada penderitaan berterusan di wilayah yang dicengkam peperangan itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Pemerhati Tetap Palestin ke PBB, Riyad Mansour, berkata kepada UNSC bahawa draf resolusi itu mempunyai ‘matlamat mudah’ – menghentikan bencana kemanusiaan di Gaza serta membolehkan pembebasan tawanan dan tahanan, selain pengunduran tentera Israel.

“Draf ini sudah terlalu lama tertangguh. Ia seharusnya membuka jalan untuk menamatkan pembunuhan beramai-ramai, menghentikan kebuluran terancang dan memastikan bantuan kecemasan sampai kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Riyad berkata, hampir dua juta penduduk Palestin termasuk sejuta kanak-kanak, kini berada ‘di ambang kebuluran’ dan terperangkap dalam kawasan terhad ‘yang jelas untuk memudahkan pengusiran serta pengilhakan mereka.’

Beliau sekali gus menggesa Israel menamatkan apa yang disifatkan sebagai ‘kepungan zalim dan haram’ serta membuka semua lintasan untuk memastikan bantuan dapat disalurkan tanpa halangan, selain mendesak negara anggota PBB mengambil langkah bebas pada peringkat negara bagi menghentikan ‘jenayah terhadap kemanusiaan’ di Gaza.

“Ini perlu dihentikan. Ia mesti dihentikan,” katanya sambil menekankan agensi PBB dan kemanusiaan mesti dibenarkan beroperasi sepenuhnya di Gaza.

Beliau turut memetik keputusan mahkamah antarabangsa dan resolusi PBB yang mendakwa Israel melanggar undang-undang antarabangsa serta melakukan jenayah perang.

Riyad turut mengesahkan isu itu akan dibawa ke Perhimpunan Agung PBB dalam beberapa hari akan datang.

Hamas pula mendakwa veto AS itu adalah sokongan langsung terhadap apa yang disifatkan sebagai ‘pembunuhan beramai-ramai oleh Israel’ terhadap rakyat Palestin.

Hamas menyifatkan tindakan itu sebagai ‘pendirian angkuh yang mencerminkan penghinaan AS terhadap undang-undang antarabangsa dan penolakan mutlak terhadap sebarang usaha antarabangsa untuk menghentikan pertumpahan darah rakyat Palestin.’

Hamas mendakwa veto itu memberi ‘lampu hijau’ kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, untuk meneruskan pembunuhan beramai-ramai terhadap orang awam yang tidak berdosa termasuk kanak-kanak, wanita dan warga emas di Gaza, selain menuduh Washington ‘bersekongkol sepenuhnya’ dalam perang berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×