Sekumpulan pensyarah dari Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), mencipta kejayaan membanggakan apabila meraih dua pingat emas dan satu perak menerusi inovasi berasaskan Bahasa Arab dalam Pertandingan Inovasi Pendidikan Antarabangsa (Edu@Innovate) 2025 baru-baru ini.
Dua inovasi yang berjaya meraih pingat emas ialah Inovasi Teknologi Augmented dan Realiti (Itar) untuk murid berkeperluan khas (MBK) dan Modul Bahasa Arab Kontemporari (Marak), manakala Birkah 2.0 pula perak.
Menurut ketua kumpulan inovasi Marak, Dr. Abduloh Usof, modul itu dibangunkan khusus bagi membantu jemaah haji dan umrah untuk menguasai bahasa Arab melalui pendekatan kontemporari dan praktikal.
“Projek ini diketuai oleh saya dengan kerjasama Dr. Nor Yazidah Yahya, Dr. Ariza Abdullah dan Mohd. Zawawi Awang Hamat.
“Marak direka berasaskan prinsip andragogi dan pendekatan berpusatkan keperluan pembelajaran orang dewasa,” katanya.
Abduloh berkata,modul tersebut bukan sahaja menjimatkan masa pengajaran malah mudah diakses dan sesuai diaplikasikan dalam konteks ibadah.
“Kumpulan penyelidik mahu terus memperluas manfaat Marak kepada masyarakat, khususnya jemaah haji dan umrah dari pelbagai peringkat usia,” katanya.
Sementara itu Prof. Madya Dr. Saipolbarin Ramli berkata, Itar merupakan inisiatif pertama di Malaysia yang dibangunkan khusus untuk meningkatkan kemahiran literasi membaca bahasa Arab dalam kalangan murid berkeperluan khas berkategori lembam.
“Itar menggunakan pendekatan teknologi augmented reality (AR) dan kecerdasan buatan (AI), digabungkan dengan model analysis, design, develop, implemen & evaluation (ADDIE)/
“Ia merangkumi pengajaran huruf hijaiyyah, simbol bacaan serta vokal pendek dan panjang secara interaktif.
“Selaras dengan aspirasi Malaysia Madani dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 4), inovasi ini terbukti berjaya meningkatkan penguasaan serta minat murid terhadap pembelajaran bahasa Arab,” katanya.
Saipolbarin berkata, Itar turut berpotensi dijadikan bahan sokongan dalam pengajaran asas al-Quran kepada murid berkeperluan khas.
Sementara itu, pensyarah, Dr.Taj Rijal Romli bersama pasukannya turut mengharumkan nama UPSI apabila memenangi pingat perak menerusi inovasi Birkah 2.0, permainan pendidikan interaktif bagi membantu pelajar tahap asas dalam penguasaan kosa kata dan pembentukan ayat mudah dalam bahasa Arab.
Ia menggunakan kaedah teams-games-tournament (TGT) melalui bahan bantu mengajar yang merangkumi kad perkataan, papan skor, huruf hijaiyyah berbentuk ikan dan elemen pertandingan kumpulan.
Kajian menunjukkan pendekatan itu bukan sahaja menyeronokkan, malah meningkatkan tumpuan, keyakinan dan penglibatan aktif pelajar.
Ketiga-tiga inovasi itu membuktikan komitmen UPSI dalam memperkasa inovasi pendidikan bahasa Arab dan menyokong pembelajaran berimpak tinggi sejajar dengan arus kemajuan teknologi serta keperluan semasa masyarakat.











