Sepatutnya Inggeris kita lebih bagus - Utusan Malaysia

Sepatutnya Inggeris kita lebih bagus

Pandemik Covid-19 berpotensi untuk menjadi faktor penyebab kepada kemerosotan penguasaan bahasa Inggeris yang lebih ketara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PANDEMIK Covid-19 diakui telah merencatkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Antara yang amat terjejas pada masa kini adalah pembelajaran bahasa, terutama bahasa Inggeris.

Dengan pembelajaran bersemuka yang terhad dan aktiviti berkomunikasi yang memerlukan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ketat, adakah prestasi bahasa Inggeris di Malaysia akan merudum?

Berdasarkan statistik dikeluarkan oleh Education First English Proficiency Index (EF EPI), kemahiran bahasa Inggeris rakyat Malaysia berada di kedudukan ke 30 dari 100 negara di dunia pada 2020, jatuh sebanyak empat anak tangga dari kedudukan ke 26 pada 2019.

Dalam kalangan negara Asia, EF EPI meletakkan Malaysia di kedudukan ketiga di belakang Singapura dan Filipina. Dengan skor sebanyak 547, Malaysia dikategorikan sebagai negara yang mempunyai kemahiran bahasa Inggeris pada tahap sederhana.

Malaysia agak jauh ketinggalan berbanding Singapura dalam penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan masyarakat yang mana negara tersebut mencatatkan kedudukan ke-10 di dunia dan berada dalam kategori kemahiran bahasa Inggeris pada tahap sangat tinggi.

Bagaimanapun, pandemik Covid-19 bukan punca kepada kemerosotan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan rakyat Malaysia pada 2020. Ini kerana kemerosotan kemahiran bahasa Inggeris telah berlaku sejak sekian lama. Statistik EF EPI pada 2019 mencatatkan Malaysia jatuh empat anak tangga dari kedudukan ke-22 pada 2018.

KONSISTEN

Namun, pandemik Covid-19 berpotensi untuk menjadi faktor penyebab kepada kemerosotan penguasaan bahasa Inggeris yang lebih ketara jika pelajar dan masyarakat terus beranggapan bahawa pembelajaran bahasa Inggeris tidak boleh berlaku tanpa guru dan tanpa kehadiran dalam kelas sama ada secara bersemuka atau maya.

Bagi menguasai sesuatu bahasa, pendedahan kepada bahasa tersebut perlu berlaku secara konsisten, berterusan dan berpanjangan. Pendedahan berterusan dan konsisten seperti yang diperlukan agak sukar dicapai dengan hanya mengikuti kelas bahasa Inggeris selama dua atau tiga kali seminggu di sekolah atau universiti.

Menurut pakar bahasa Inggeris, Stephen Krashen dari Amerika Syarikat (AS), jika seseorang pelajar itu membaca bahan bahasa itu selama 15 hingga 20 minit setiap hari, peningkatan kemahiran penulisan dalam bahasa Inggeris pelajar akan dapat dilihat dalam masa sekurang-kurangnya lapan bulan.

Pendedahan secara konsisten penting kerana otak manusia akan hanya dapat menyimpan maksud sesuatu perkataan baharu ke dalam memori jangka panjang apabila perkataan baharu tersebut ditemukan menerusi pembacaan dan pendengaran sebanyak tidak kurang dari tujuh kali dalam jarak masa pendek.

Paul Nation, seorang penyelidik dari New Zealand, pula menegaskan bahawa apabila seseorang itu bertemu dengan perkataan baharu pada kali kelapan dan seterusnya, otak dapat terus memahami maksud perkataan tersebut tanpa memerlukan rujukan kamus.

Benarlah bagai dikata untuk menguasai sesuatu ilmu baharu, seseorang perlu komited, bertekad dan tidak mudah berputus asa.

Selain itu, dengan kemajuan teknologi masa kini, setiap individu berpeluang mencipta persekitaran bahasa Inggeris setiap hari secara percuma mengikut kelapangan masa di dalam ruang bilik sendiri.

Kaedah mudah dan terbukti berkesan adalah menerusi penggunaan platform video, YouTube.

SARI KATA

Dengan menonton video-video terpilih seperti English Speeches, TED Talk, English with Lucy, Mark Odea, English Short Stories dan Learn English Through Short Stories, seseorang itu bukan sahaja dapat mendengar syarahan dan cerita menarik dalam bahasa Inggeris malah mendengar sebutan yang tepat berdasarkan sebutan penutur asli dari AS, Britain dan lain-lain.

Sementara itu, terdapat juga video-video bahasa Inggeris yang disediakan oleh rakyat tempatan seperti Omong-omong Rozanah dan Learn English with Cikgu Chris dengan menampilkan penutur yang fasih berbahasa Inggeris.

Apa yang menarik tentang video di YouTube ini adalah sari kata dalam bahasa Inggeris yang disediakan untuk video bahasa Inggeris. Ini bagi rujukan penonton.

Menerusi kaedah tontonan video bahasa Inggeris di YouTube, seseorang itu bukan sahaja dapat mendengar sebutan bahasa Inggeris yang tepat malah membaca sari kata bagi memahami maksud dan mengenal ejaan perkataan yang dituturkan.

Persekitaran bahasa Inggeris secara tiruan yang diwujudkan menerusi pendedahan sebegini walaupun secara satu hala mampu memperkayakan minda seseorang dengan bukan sahaja perbendaharan kata, gaya bahasa dan sebutan yang tepat malah idea kreatif dan isu-isu semasa.

Oleh yang demikian, pandemik Covid-19 bukanlah penghalang kepada kemajuan penguasaan bahasa Inggeris kita dan anak-anak kerana capaian internet dan bahan bacaan adalah sumber utama yang masih tidak terjejas oleh wabak ini.

Jelaslah bahawa pembelajaran bahasa Inggeris boleh beralih dari kelas tradisional dan guru tempatan kepada kelas global dengan para pengajar yang terdiri daripada warga dunia.

Kesimpulannya, dengan kewujudan peluang pembelajaran bahasa Inggeris secara kendiri yang diupayakan oleh teknologi terkini, penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan masyarakat Malaysia semasa pandemik Covid-19 ini masih dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa.

DR. Samsiah Abdul Hamid ialah Pensyarah Kanan di Pusat Pembelajaran Bahasa Inggeris, Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×