KONFLIK Palestin dan Israel bukanlah satu isu baharu malah sudah pun bermula sejak 1948 apabila kaum Yahudi membentuk wilayah Israel dan menjajah sedikit demi sedikit bumi Palestin.
Sudah 73 tahun berlalu, konflik yang berlaku tidak pernah terhenti, bahkan menjadi semakin teruk hari demi hari dengan menyaksikan penduduk Palestin ditindas rejim Zionis sehingga mereka diusir dari tanah sendiri dan hidup merempat.
Satu dunia menyedari apa yang berlaku terhadap nasib penduduk Palestin, satu dunia menyaksikan bagaimana mereka dizalimi, tidak kira yang tua atau muda, lelaki atau perempuan, semuanya ditindas Israel.
Laungan solidariti masyarakat dunia bagi menyokong Palestin juga tidak pernah padam dan semangat itu semakin membara setiap kali tentera Israel melancarkan serangan terhadap penduduk Palestin dan mencemari kesucian Masjid Al-Aqsa.
Namun, timbul persoalan mengenai sikap dan peranan segelintir negara Arab yang mendakwa mereka menyokong penuh keamanan serta keadilan untuk rakyat Palestin.
Apa tidaknya, sokongan yang dinyatakan mereka hanyalah menerusi kata-kata penegasan dan retorik yang sebenarnya, ‘tidak memberi kesan langsung’ kepada Israel, malah Zionis juga sudah semakin lali dengan ‘sekadar teguran’ itu.
Sehingga kini, tiada satu pun negara Arab yang benar-benar berani tampil ke hadapan untuk membantu bebaskan Palestin dari cengkaman Israel.
TAKUT

Sejak mula hingga kini, hanya rundingan dan sesi dialog yang dilakukan untuk mencari jalan penyelesaian konflik Palestin-Israel serta pada masa yang sama, kezaliman terhadap penduduk Palestin terus berlaku.
Apakah cukup dengan sekadar membuat kenyataan lantang, Israel akan berhenti tindas penduduk Palestin? Adakah memadai dengan mengadakan mesyuarat tergempar bersama pemimpin negara Arab, nasib Palestin menjadi lebih baik?
Jawapannya, tidak. Sekiranya semua kaedah di atas berjaya, sudah lama penduduk Palestin boleh menikmati kehidupan yang bebas dan aman berbanding sekarang.
Apa yang ditakuti negara Arab? Adakah kerana Israel menjadi sekutu kebanyakan negara Barat menyebabkan kuasa Arab berdiam diri dan menutup mata tentang situasi di Palestin?
Sebagai sesama negara Islam, negara-negara Arab sepatutnya berani dan bersedia untuk menghantar bantuan termasuk ketenteraan kepada Palestin pada bila-bila masa sahaja, bukannya hanya lihat dan keluarkan kenyataan mengecam. Tindakan itu sudah basi!
Kenyataan demi kenyataan yang dibuat oleh negara Arab untuk menyelar tindakan Israel di bumi Palestin yang disiarkan menerusi media dilihat seperti hanya mahu ‘menunjukkan peranan masing-masing’ dan tidak lebih dari itu.
TENTERA
Baru-baru ini, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Oman dan Turki antara negara Arab yang keras mengutuk Israel, namun diulangi sekali lagi, sekadar mengecam dan tiada tindakan diambil, nasib penduduk Palestin tidak akan berubah.
Sikap pengecut negara-negara Arab ini sudah dapat dibaca Israel, menyebabkan Zionis bebas membuat apa sahaja kerana mereka tahu, tiada sesiapa berani melawan dan setakat beri kenyataan menyelar, itu tidak menjadi masalah.
Banyak juga pihak mempersoalkan mengapa negara-negara Arab tidak menghantar pasukan tentera mereka untuk membantu penduduk Palestin?
Sedangkan, Rusia, Turki menjadi antara negara yang menghantar pasukan tenteranya untuk membantu perang saudara yang tercetus di Syria di bawah perjanjian tentera pakatan.
Menghantar pasukan tentera bukan untuk berperang semata-mata, sebaliknya boleh berperanan sebagai pengaman dan menjalankan misi kemanusiaan.
Namun, entah di mana sifat yang kononnya untuk melindungi saudara sesama Islam dan kerana sikap anak tiri segelintir negara Arab inilah yang menyebabkan kemelut di Palestin sehingga hari ini tidak berkesudahan.
Semoga kemenangan menjadi milik Palestin.











