BALIK PULAU: Musim cuti sekolah kali ini menyaksikan ‘kebanjiran’ luar biasa penggemar durian khususnya di sekitar Balik Pulau, di sini.
Situasi ini juga menyebabkan rata-rata penjual durian tidak ‘menang tangan’ dalam melayani kerenah pembeli terutamanya yang datang bercuti ke Pulau Pinang.
Seorang penjual durian, Mohd. Hilmi Che Rose berkata, sambutan yang diterima sangat menggalakkan sehingga dia mampu menjual 10 bakul durian setiap hari ini.
“Durian yang dijual di gerai saya adalah 100 peratus hasil dari kebun di sekitar Balik Pulau tanpa campuran buah luar. Kita memang jual buah tempatan sahaja.
“Habis musim, habislah jualan. Tak ada simpan-simpan. Untungnya sekarang orang memang tengah ‘gila’ durian,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Mohd. Hilmi, gerainya yang dikenali dengan nama YB Durian Balik Pulau terletak di kaki bukit berhampiran Jalan Bukit Penara dan mula dibuka sejak dua minggu lalu dari pukul 10 pagi hingga 9 malam setiap hari.
Ketika ini katanya, terdapat lebih daripada 10 jenis durian dijual di gerainya dan antara yang menjadi rebutan pelanggan termasuk jenis Black Thorn, Musang King, 338, Siahong dan Polo.
“Pelanggan sekarang paling banyak cari Black Thorn dan Musang King. Harganya pula ikut gred. Contohnya, Musang King gred B sekitar RM60 hingga RM65 sekilogram manakala gred A boleh mencecah RM75. Black Thorn pula antara RM80 hingga lebih RM90,” katanya.
Jelas Mohd. Hilmi, walaupun terdapat khabar angin tentang kekurangan buah tersebut musim ini, katanya, bekalan ‘raja buah’ itu masih mencukupi dan berkualiti.
“Buah tak kurang sangat, masih mencukupi. Cuma, dia (durian) jatuh (gugur dari pokok) secara berperingkat. Jadi, kita ambil dan jual ikut hari,” katanya.
Tambah Mohd. Hilmi, permintaan terhadap durian dijangka terus meningkat menjelang cuti Aidiladha apabila lebih ramai perantau pulang ke kampung halaman.
“Durian ini bukan sahaja (dicari) untuk nak makan, kadang, mereka beli untuk hadiahkan kepada keluarga,” katanya yang memberitahu, musim durian pula dijangka berlanjutan untuk tempoh sehingga sebulan lagi bergantung kepada cuaca dan kadar buah yang gugur. –UTUSAN











