MEKAH : Lembaga Tabung Haji (TH) akan memastikan tiada jemaah haji Malaysia akan tertinggal untuk berwukuf di Arafah pada Khamis ini berikutan arahan ‘lockdown’ yang dilaksanakan Kerajaan Arab Saudi kelmarin.
Menteri di Pejabat Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, semasa Simposium Perdana Haji di Jeddah kelmarin, menteri terlibat bahagian pengangkutan memberi jaminan akan menyediakan pengangkutan mencukupi.
Katanya, secara asasnya langkah tersebut bagi memastikan keselamatan jemaah haji dunia dengan tidak membenarkan sesiapa pun berjalan kaki dari Mekah ke Arafah.
“Saya ingat apabila dasar yang diperkenalkan Kerajaan Arab Saudi iaitu tiada haji tanpa visa sah, mungkin jutaan mereka yang cuba masuk kenTanah Suci itu telah daoat dihalang.
“Maknanya jumlah jemaah haji yang berada di Tanah Suci ini hanya ada mereka yang ada permit sah dan jumlahnya tidak seperti tahun lalu dan dalam kawalan pihak berkuasa,” katanya selepas Majlis Ramah Mesra bersama Jemaah Haji di Bangunan Penginapan dan Perasmian Program Kebersihan Masyair 1446H/2025M di Abraj Al Tayseer di sini, semalam.
Mohd. Na’im berkata, perkara tersebut adalah komitmen yang diberikan Kerajaan Arab Saudi bagaimana pun tiada jumlah kenderaan secara spesifik yang dinyatakan pihak berkuasa tempatan.
Sebelum ini, media melaporkan, Kerajaan Arab Saudi mengeluarkan larangan agar jemaah-jemaah haji tidak berjalan kaki dari Mekah ke Arafah selain arahan ‘lockdown’ di khemah-khemah jemaah ketika Masyair bagi mengelakkan risiko strok haba.
Mohd. Na’im dipetik berkata, jemaah haji tidak dibenarkan untuk keluar khususnya ketika Masyair di Arafah dari pukul 10 pagi hingga pukul 4 petang.
Dalam pada itu, ujar beliau, jemaah-jemaah haji juga dilarang untuk pergi ke Masjid Namirah dan Jabal Rahmah di Arafah selain tidak dibenarkan berjalan kaki dari Mekah ke Arafah. – UTUSAN










