NEW DELHI: Ketua angkatan tentera India buat pertama kali mengakui beberapa jet pejuang mereka ditembak jatuh ketika operasi serangan terhadap wilayah Pakistan yang dikuasai oleh Islamabad dalam konflik sengit antara kedua-dua negara pada awal Mei.
Sebelum ini, pegawai India enggan mengesahkan sebarang kehilangan pesawat milik negara itu.
Ketika ditanya Bloomberg pada Sabtu berhubung dakwaan Pakistan mengenai enam jet India ditembak jatuh, Ketua Pertahanan India Anil Chauhan pada mulanya menafikannya dengan berkata ia sama sekali tidak benar dan itu bukan maklumat yang penting.
Namun, beliau kemudian menyatakan yang penting ialah ‘mengapa ia (jet) ditembak jatuh’ seolah-olah mengakui beberapa jet pejuang India ditembak jatuh dalam pertempuran itu, walaupun tidak mengesahkan bilangan sebenar.
“Itu lebih penting bagi kami. Dan apa yang kami lakukan selepas itu? Itu lebih penting,” katanya semasa wawancara dengan Haslinda Amin dari Bloomberg di Dialog Shangri-La, forum pertahanan utama Asia, di Singapura.
Beliau juga mengakui tentera India melakukan kesilapan taktikal sebagai menjawab soalan lain berhubung dakwaan Pakistan tersebut.
“Perkara yang baik ialah kami dapat memahami kesilapan taktikal yang kami lakukan, memperbaiki, membetulkan dan kemudian melaksanakannya semula selepas dua hari dan menerbangkan semua jet kami semula untuk serangan jarak jauh,” katanya.
Pakistan mendakwa juruterbang mereka menembak jatuh lima jet pejuang India dalam pertempuran udara termasuk tiga Rafale buatan Perancis selepas India melancarkan operasi ketenteraan terhadap Pakistan pada awal Mei.










