Tidak perlu niat ihram bersyarat jika haid

Tidak perlu niat ihram bersyarat jika haid

TAJUL URUS ABDUL HALIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Kaum hawa dinasihatkan agar tidak berniat ihram secara bersyarat sekiranya berada dalam keadaan haid kerana dibimbangi akan merosakkan ibadah haji mereka.

Ketua Pakar Rujuk Ibadah Haji merangkap Timbalan Mufti Perlis, Tajul Urus Abdul Halim berkata, jemaah wanita mempunyai tempoh masa yang panjang di tanah suci untuk melengkapkan ibadah haji mereka.

“Niat bersyarat seperti ‘sekiranya datang haid maka halallah aku’ tidak digalakkan kerana ia dikhuatiri menjejaskan kesempurnaan ibadah haji.

“Ini kerana sekiranya jemaah wanita melafazkan niat bersyarat haji, ia dikhuatiri akan terjejas, terlepas atau terlucut haji disebabkan lafaz niat bersyarat yang dilakukan,” katanya di sini baru-baru ini.

Jelas beliau, niat adalah rukun utama haji dan perlu dilakukan ketika jemaah wanita keluar dari tempat penginapan atau ketika berada di miqat tanpa mengira keadaan fizikal sama ada ketika haid atau sebaliknya.

“Jika seorang wanita tidak berniat haji maka ibadah haji tidak dapat dilaksanakan. Oleh itu, dia wajib berniat terlebih dahulu walaupun dalam keadaan haid kerana haid tidak menjejaskan sah niat haji.

“Meskipun berhadas, kaum wanita boleh melaksanakan semua rukun dan wajib haji seperti wukuf di Arafah, mabit di Muzdalifah dan Mina serta melontar jamrah. Hanya tawaf yang perlu ditangguhkan sehingga kembali suci,” jelas beliau.

Tajul Urus juga memberi penjelasan berhubung kebimbangan jemaah haji sama ada terikat dengan adab-adab individu yang melaksanakan ibadah korban.

“Bagi para jemaah haji yang menunaikan ibadah korban, mereka tidak terikat dengan adab seperti mereka yang me­laksanakan korban termasuk memotong kuku, mencabut bulu dan sebagainya.

“Adab itu hanya sunat bagi mereka yang melaksanakan ibadah korban dan tidak me­laksanakan ibadah haji. Jadi jemaah boleh buat persiapan rapi termasuk memotong kuku sebelum ibadah haji dan persiapan sewajarnya bagi memastikan keselesaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×